Misteri Jelmaan Wanita di Gua Madai Sabah

Gua Madai terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Kunak, Sabah. Ia merupakan antara lokasi penuaian sarang burung dan dijaga oleh golongan pewaris Gua Madai dengan seliaan Jabatan Hidupan Liar Sabah sebagai agensi yang melesenkan kegiatan mengutip sarang burung.

Gua ini merangkumi empat ruang utama berketinggian antara 10 meter hingga 50 meter, empat pintu gua dan sembilan lubang di siling gua menjadi laluan burung layang-layang.

Setiap tahun, dianggarkan satu tan sarang burung bernilai kira-kira RM800,000 berdasarkan harga pasarannya ketika ini, dikutip dari gua itu menerusi tiga musim penuaian iaitu pada April, Ogos dan Disember.


Disebalik keindahan dan keunikan gua ini, terdapat kisah mistik di sebaliknya. 

Misteri Jelmaan Wanita di Gua Madai Sabah

Antara kisah mistik yang popular ialah, penemuan atau ‘terserempak’ dengan wanita misteri yang berambut panjang dan berpakaian serba hitam di pintu masuk gua. 

Selain itu, ada juga pengunjung yang pernah terjumpa kelibat kepala kambing bertenggek atas batu di pintu masuk yang sama. 

Kejadian aneh dan penuh mistik ini hanya disedari orang tertentu. Namun begitu, kisah mistik ini telah disampaikan dari mulut ke mulut sejak dulu lagi sehinggakan tidak lagi menimbulkan ketakutan terutamanya para pekerja dan pengunjung yang sering berkunjung ke situ. 

Pengalaman Seram Penjaga Gua

Menurut satu artikel yang diterbitkan oleh Berita Harian, Mohd Undi Hamkan, 45, yang diberi tanggungjawab menjaga keselamatan Gua Madai dan persekitaran gua terbabit sejak beberapa tahun lalu pernah mengalami beberapa kejadian seram semasa bertugas.

Antaranya, beliau mendakwa pernah ternampak kambing berlari dalam gua sebelum hilang sekelip mata tanpa meninggalkan apa-apa kesan atau jejak dan jelmaan seorang wanita berambut panjang. 

Perkara ini menimbulkan tanda tanya siapakah wanita terbabit dan dari mana datangnya kambing dalam gua itu memandangkan tiada seorangpun penduduk kawasan berhampiran gua memelihara ternakan berkenaan.

“Di pintu gua pula, kalau nasib kita bagus ada kalanya terserempak dengan perempuan berambut panjang dengan pakaian serba hitam duduk di atas batu. Namun, selepas mengalih pandangan dan menoleh semula ke arahnya, ia sudah hilang,” tambah beliau lagi.

“Saya berjalan seperti biasa saja ketika masuk gua apabila terserempak dengan perempuan berpakaian hitam dan saya tidak rasa takut. Dia seperti orang biasa tetapi kemunculannya hanya sekelip mata dan saya percaya ia adalah penunggu di gua ini,” katanya.

Beliau mendakwa, masyarakat Idahan percaya gua itu ada penunggu dan dihuni makhluk ghaib tetapi mereka tidak takut atau seram kerana mempercayai ia adalah penjaga burung layang-layang yang datang bersarang di gua berkenaan.

Di dalam gua, kewujudan dua bongkah batu besar menyerupai kerusi dan meja turut menguatkan kepercayaan mengenai kehadiran makhluk ghaib dengan andaian batuan berkenaan adalah ‘perabot’ kediaman ‘mereka’.

Beliau turut mendakwa, kewujudan satu tapak kaki ‘gergasi’ dalam satu daripada ruang di Gua Madai yang menjadi laluan anak Sungai Madai adalah milik seorang pahlawan, iaitu moyang masyarakat Idahan yang pertama menemui gua berkenaan.

___

Sumber: 

  1. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/01/111795/misteri-kepala-kambing-wanita-di-gua-madai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *