Penggunaan jaringan internet secara meluas memberikan pelbagai manfaat kepada penggunanya. Namun, tidak dapat dinafikan seiring perkembangan tersebut, penggunaan internet yang tidak dikawal menyebabkan bermacam-macam kegiatan negatif, antaranya ialah buli siber.
Menurut satu artikel yang diterbitkan (hellodoktor.com), buli siber merupakan ancaman siber ketiga terbesar di Malaysia, sejurus selepas penipuan dan penggodaman atas talian.
Hal ini tidak lagi menghairankan kerana tokoh umum seperti selebriti dan aktivis sosial bahkan orang biasa juga berpotensi menjadi mangsa kecaman masyarakat.
Penggunaan akaun palsu dan rasa kebersamaan dengan pembuli lain yang turut menghamburkan komen agresif dan mengancam di dunia maya juga menyebabkan isu buli siber ini sukar dibendung.
Kesan buli siber
Walaupun kegiatan buli siber kelihatan tidak meninggalkan kesan fizikal, namun gejala ini lebih berbahaya kerana boleh mengancam kesihatan mental mangsa dan seterusnya memberi kesan kepada fizikal mangsa sekiranya tidak terkawal.
Tambahan lagi, jejak digital yang ditinggalkan oleh ‘pembuli’ memberi kesan dalam jangka masa yang panjang kepada mangsa.
Selain itu, buli siber juga kadangkala melibatkan ugutan yang seperti keganasan fizikal atau seksual.
Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kematian akibat bunuh diri kerana tekanan mental dan emosi yang dihadapi mangsa.
Kesimpulan
Oleh itu, buli siber ini harus dihentikan.
Gunakan media sosial anda secara beretika dan jangan galakkan orang lain terlibat dengan buli siber.
Ingat, sebelum menulis atau menyebarkan apa-apa di media sosial anda, tanya diri sendiri sama ada apa yang ditulis memberi kesan negatif kepada individu lain atau tidak.
Sama-sama kita beringat.