Hukum Beli Barang Sihir

 

Assalamualaikum.. Saya ada soalan, apakah hukum beli barang-barang sihir yang dijual dalam Shopee dan sebagainya?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum jual beli barangan sihir adalah haram dan akad jual beli tersebut terbatal. Ini adalah kerana barangan sihir adalah barang yang tidak sah untuk dijual beli. Sekiranya sudah dibeli, barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. Umat Islam dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu sihir sekalipun ia dijual secara terbuka.

Tok Ayah maut kena ilmu hitam! Anak murid terkejut kerap jumpa barang sihir... Tapi arwah pesan berlindung kepada Allah - Mistik | mStar

Huraian Jawapan

Sihir adalah salah satu perkara yang diharamkan dalam Islam. Umat Islam dituntut untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengannya. Hal ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa sihir adalah salah satu dosa besar. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa besar”, Mereka bertanya: “Apakah dosa-dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda:

“Syirik kepada Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan cara yang dibenarkan syarak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari perang serta menuduh wanita beriman yang muhsan berzina”.

Riwayat al-Bukhari (2766)

Sesuatu jual beli dianggap sah sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli seperti pembeli, penjual, ijab dan kabul serta barang yang diniagakan. Dalam konteks permasalahan ini, ulama menyatakan bahawa barang yang dijual mestilah suci, boleh dimanfaatkan, diketahui, boleh diterima dan dimiliki oleh pembeli. Tambahan lagi, ada ulama menyatakan bahawa barang yang diniagakan itu mestilah barang yang diharuskan syarak.

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/149[1]; – 3/140[2])

Oleh itu, segala barang yang digunakan untuk tujuan mensyirikkan Allah adalah haram dan tidak sah untuk dijual beli. Bahkan hasil yang diperoleh penjualan barang tersebut tidak boleh digunakan dan perlu disucikan. Sekiranya sudah dibeli, maka barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/11[3]; Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 139[4])

 

Kesimpulan

Hukum jual beli barangan sihir adalah haram dan akad jual beli tersebut terbatal. Ini adalah kerana barangan sihir adalah barang yang tidak sah untuk dijual beli. Sekiranya sudah dibeli, barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. Umat Islam dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu sihir sekalipun ia dijual secara terbuka.

Wallahualam.

Sumber: Laman web Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *