Perintah Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW ~ Ustaz Mohammed Ashrul Syarif

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab : 56)

Sesungguhnya Allah Taala memberi rahmat kepada Nabi Muhammad SAW dan para malaikat untuk memohon ampunan untuk Nabi, maka Allah memerintahkan kepada seluruh umat Islam untuk berselawat kepada Nabi dan mengucapkan salam dengan penuh penghormatan kepadanya. 

Apakah makna Allah berselawat ke atas Nabi? Allah SWT berselawat ke atas Nabi bermakna pujian Allah kepada baginda serta Allah menyebut-nyebut nama Rasulullah di sisi malaikat-malaikat di langit yang ketujuh. Allah menyebut nama Rasulullah SAW di sisi para Malaikat yang paling hampir kedudukannya dengan Arasy Allah SWT. 


Selawat Untuk Nabi Muhammad SAW

Allah SWT memerintahkan manusia untuk berpuasa dan berzakat sedangkan Allah tidak berpuasa dan berzakat. Untuk apa Allah berpuasa sedangkan puasa itu untuk Dia? Allah juga memerintahkan manusia untuk menunaikan solat sedangkan Allah tidak bersolat. Solat itu adalah untuk hambaNya mengabdikan diri kepada Allah SWT yang menciptakan manusia. Sebagai simbolik kesyukuran manusia kepada Allah, maka disembahlah Allah oleh hamba-hambanya.

Segala perintah Allah dalam Al-Quran, bermula dari puasa sampai ke haji dan bermula dari yang wajib sampai kepada sunnat, Allah SWT perintahkan kepada manusia tetapi Allah tidak melaksanakan semua amalan-amalan tersebut. Hanya satu amalan sahaja yang Allah perintahkan kepada manusia yang Allah sendiri mulakan untuk berbuat seperti mana yang Dia perintahkan iaitu selawat.

Perintah Allah dalam Al-Quran, “Bila benar Iman kamu kepada Aku, bila benar tauhid kamu kepada Aku, bila benar ketuhanan kamu kepada Aku, maka berselawatlah kepada Nabi Muhammad SAW dan doakan kebaikan kepada baginda.


Kesimpulan

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (Riwayat Muslim 384). Selawat yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW akan dibentang di hadapan Baginda SAW pada setiap hari Jumaat. Maka dengan itu, marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Semoga dengan berselawat kita akan mendapat syafaat dan pertolongan daripada Nabi Muhammad SAW di hari akhirat nanti. 


Sumber : Youtube Channel Bro Jep TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *