Legenda perjanjian Orang Sungai dengan Raja Buaya di Sabah


Kalau di Sarawak terkenal dengan kisah “Bujang Senang”, di Sabah pula agak terkenal dengan cerita legenda ini terutamanya bagi penduduk sekitar Sungai Kinabatangan.

Mari baca!

‘Gegejanji Gunai Boya’ 

 ‘Gegejanji Gunai Boya’ merupakan bahasa Sungai yang membawa maksud; perjanjian antara manusia dengan buaya. 

Kandungan dalam perjanjian itu ringkas. Sesiapa yang berketurunan daripada masyarakat etnik Orang Sungai yang tinggal di sepanjang sungai Kinabatangan atau di lain-lain tempat tidak boleh diganggu dan dibaham oleh sang bedal iaitu buaya. 

Berdasarkan cerita lisan daripada warga emas tempatan, ‘Gegejanji Gunai Boya’ atau perjanjian buaya merupakan peristiwa yang berlaku di dalam masyarakat etnik Orang Sungai. Kepercayaan ini masih terus dipegang oleh mereka yang sudah lanjut usia.

Menurut seorang warga emas bernama Mak Andam, perjanjian ini dipercayai bermula di antara seekor raja buaya yang digelar Aki Turonggari dengan seorang wanita tua yang lebih dikenali sebagai dukun Aduk Sibulig-buliq.

Mengikut inti pati perjanjian itu, selagi pantang larang seperti mandi, membasuh pakaian atau mencari rezeki di sekitar sungai dipatuhi oleh anak cucu Aduk Sibulig-buliq, maka selagi itulah keturunan Aki Turonggari akan mematuhi perjanjian tersebut.

Menurut Mak Andam, orang-orang tua percaya perjanjian itu bukan sekadar mitos atau legenda tetapi ia benar-benar berlaku. Ia adalah kisah zaman dahulu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang lain. 

Kisah perjanjian ini dikatakan memberi kesan kepada kehidupan seharian Orang Sungai. Jadi tidak hairanlah jika ramai generasi dulu kala mempercayainya.


Sumber: Google Image

Orang Sungai Dijaga Buaya?

Malah jika ditanya kepada generasi tua di kalangan Orang Sungai, ramai di antara mereka mengakui, sepanjang mereka hidup, belum pernah lagi ada generasi mereka yang dibaham buaya.

Selain Mak Andam, kisah perjanjian tersebut turut dikongsi oleh lima orang nelayan dari kampung Sukau yang mengakui, kesemua mereka tidak pernah diganggu buaya ketika menangkap ikan di sungai ini.

Meskipun begitu, mereka tetap mengamalkan langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan setiap kali turun ke sungai untuk menangkap ikan. Sepanjang menjadi nelayan, para nelayan ini pernah bertemu dengan buaya, tapi tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Salah seorang daripada mereka bernama Riduan menceritakan, dia pernah dihampiri buaya sepanjang 15 kaki di hujung perahunya. Ketika itu, dia sedang mengangkat bubu udang galah yang dipasangnya. Ketika itu, dia hanya mampu berdoa kepada Allah saja. Mujurlah buaya yang timbul itu kemudiannya perlahan-lahan tenggelam ke dasar sungai.

Namun demikian, bukan tidak pernah buaya menyambar manusia di tebing sungai sebagai santapannya. Pernah berlaku dahulu seorang pekerja ladang di sebuah syarikat perladangan kelapa sawit menjadi habuan buaya. Pekerja lelaki warga Indonesia berusia awal 20-an itu dikatakan sedang menjala ikan di hulu Sungai Kinabatangan hingga lewat petang.

Tanpa mengendahkan papan tanda yang melarang kegiatan memancing atau menjala di kawasan berkenaan, pekerja terbabit dan rakannya terus melangkah masuk ke dalam sungai hingga ke paras pinggang.

Malang tidak berbau, kehadiran mereka telah dihidu oleh seekor buaya yang membaham salah seorang daripada mereka dalam sekelip mata. Disebut bahawa yang selalu menjadi mangsa dibaham buaya adalah orang luar, bukan Orang Sungai.

Antara realiti dengan ilusi, perjanjian buaya ini mungkin ada rahsia di sebaliknya. Ketika masyarakat etnik Orang Sungai dan anak cucu Aduk Sibulig-bulig masih berpegang teguh kepada pantang larang ketika mencuci pakaian atau mandi atau mencari rezeki di sungai, anak cucu sang bedal Aki Turonggari pula tidak pernah lupa akan syarat yang dijanjikan oleh raja mereka.

Sumber: https://utusantv.com/2021/05/21/gegejanji-gunai-boya-legenda-perjanjian-orang-sungai-dengan-raja-buaya-di-sabah/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *