” Tawau Paling Berpotensi Terdedah Dengan Ancaman Tsunami “

Berikutan gempa bumi lemah yang telah berlaku di Tarakan, Indonesia pada pukul 2:09 pagi, (30 Disember 2021),  gegaran turut dapat dirasai oleh ramai penduduk di Tawau, Sabah. Tidak dinafikan, Tawau merupakan antara lokasi yang berisiko untuk mendapat ‘tempias’ daripada kejadian bencana di negara jiran. 

Menurut satu artikel yang diterbitkan oleh Universiti Malaysia Sabah,  daerah Tawau disifatkan kawasan paling berpotensi terdedah dengan ancaman tsunami di negara ini, khususnya Sabah kerana terletak berhampiran pusat gempa bumi dan tsunami di wilayah jiran Indonesia dan Filipina.


” Tawau Paling Berpotensi Terdedah Dengan Ancaman Tsunami ” 

SIMULASI tsunami yang dijalankan mendapati ombak tsunami dari Peparit Sulawesi yang berada pada jarak 300KM dengan Tawau boleh sampai ke negeri ini dalam masa 30 minit selepas mula-mula berlaku.

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendedahkan ancaman tsunami di negeri ini boleh terhasil dari peparit-peparit di negara- negara jiran.

Antaranya, Peparit Manila, Peparit Mindoro, Peparit Cotabato di Filipina, Peparit Sulawesi Utara di Indonesia, selain potensi berlakunya tanah runtuh bawah laut di cerun pelantar Sabah di Laut China Selatan.

Malah, bahagian Timur dan Utara Sabah pernah dilanda tsunami setinggi 2 meter pada 21 September 1897 susulan gempa bumi bermagnitud 7.5 di Laut Sulu, Zamboanga Filipina.

Namun Pengarah NDRC UMS Prof. Dr Felix Tongkul berkata keadaan di Tawau tidak terlalu serius berbanding di Jepun, Filipina dan Indonesia, dan berada pada tahap enam daripada skala satu hingga 10.

“Simulasi ombak tsunami menunjukkan ancaman tsunami di Tawau adalah tinggi kerana terdedah kepada ombak tsunami dari Laut Sulawesi dan dekat dengan sumber tsunami.

“Malah, sebahagian besar kawasan di Bandar Tawau bertopografi rendah, justeru penduduk Tawau harus sentiasa berwaspada dan bersedia jika berlaku tsunami.

“Cuma jika mengambil contoh kes di Malaysia, Tawau adalah lokasi yang serius untuk terkena kesannya jika berlaku tsunami di Sulawesi Utara atau Filipina Selatan,” katanya.

Dr Felix berkata Pelantar laut di Tawau juga didapati agak sempit (berukuran 1020km lebar), ketika ancaman bergantung kepada kelebaran pelantar laut dan jaraknya dari sumber tsunami.

“Jika ada gempa bumi dan tsunami di Peparit Sulawesi Utara, kesannya dilihat boleh sampai ke Tawau dalam masa 30 minit selepas kejadian itu mula-mula berlaku,” katanya.

“Kita juga percaya wujud keperluan untuk Tawau memiliki lebih dari satu siren amaran awal supaya proses evakuasi penduduk dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, NDRC UMS mencadangkan kerajaan memasang siren amaran awal tsunami di sepanjang pesisir pantai Tawau berbanding hanya satu sahaja dipasang di pusat bandar.

Ditanya berhubung jangka masa untuk tsunami berlaku pula, beliau berkata kejadian ombak besar itu sukar diramal dan hanya boleh terhasil daripada kesan gempa bumi.

“Kerisauan kita mengenai sikap orang kita yang memandang remeh dengan keperluan untuk bersiapsedia kerana menganggap lagi tsunami datang ke tempat kita.

“Kita bukannya mahu buat persiapan yang hebat seperti di Jepun, Filipina dan Indonesia, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah bersedia jika ada kejadian berlaku,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia di Bandar Tawau ada ditempatkan di Masjid Al-Kauthar di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia.
___

Apapun, semoga daerah ini dilindungi dan dijauhkan dari segala malapetaka.

Sumber: 
https://ums.edu.my/uppksv2/index.php/ms/peristiwa/137-tawau-paling-berpotensi-terdedah-dengan-ancaman-tsunami?fbclid=IwAR1P0djxxDb-efcjeZ5y5h2CC0ZQsYDXo7JdPChbLAJRFLECxWl1oieJD1k

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *