Dengan keadaan cuaca panas yang berlaku sekarang ini, orang ramai diingatkan supaya tidak memandang ringan serangan strok haba terutama kepada golongan yang bekerja dibawah terik mentari. Serangan ini akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada pesakit.
KESAN STROK HABA
Strok haba berlaku akibat cuaca panas dan dapat mendatangkan komplikasi serius terhadap sistem tubuh termasuk masalah saraf, sistem kardiovaskular dan risiko kematian. Melalui penulisan Dr. Nik Rosmawati yang diterbitkan di Harian Metro, kesan jangka pendek akibat pendedahan mengejut kepada cuaca panas boleh mengakibatkan sel badan cedera, berlaku keradangan, darah senang membeku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting.
GOLONGAN BERISIKO
Menurut Pensyarah Perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi individu yang melakukan aktiviti atau bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas dikenal pasti berisiko tinggi mendapat strok haba seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba dan atlet. Selain itu juga, risiko juga turut terdedah kepada golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.
TANDA-TANDA STROK HABA
Antara tanda-tanda bagi seseorang yang mengalami strok haba ini ialah denyutan jantung akan menjadi cepat, pernafasan laju dan pendek, badan terasa panas dan kering, sakit kepala, pening, kepala rasa berpusing dan berasa mual. Justeru itu, masyarakat perlu peka terhadap tanda dan gejala strok haba supaya tindak segera dapat diambil.
LANGKAH PENCEGAHAN
Antara langkah yang dapat diambil untuk mencegah terkena strok haba ialah mengurangkan atau tidak melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik dalam tempoh yang berpanjangan. Selain itu, memastikan diri terhidrat dengan minum air kosong secukupnya. Pakaian yang longgar dan ringan juga mampu membantu mengurangkan risiko terkena strok haba.