Kisah Pengait Di Sabah | Kisah Benar Atau Mitos?


Mungkin bagi sesiapa yang lahir pada sekitar tahun 70 sehingga 90- an sudah agak biasa dengan cerita ini. 

Pada waktu ini, penduduk di sekitar Sabah heboh dengan cerita “pengait”. Pengait yang dimaksudkan  ialah individu yang didakwa memburu kepala budak-budak kecil. 

Ada bermacam-macam versi cerita yang disampaikan daripada mulut-mulut. Antara yang popular ialah, kepala budak tersebut akan digunakan untuk dibuat sebagai penahan jambatan agar kukuh dan tidak roboh kerana semangat roh yang menjaga. Kemudian, organ-organnya yang lain akan dijual.  


Ada juga yang mengatakan ‘pengait’ ini berlesen. Mereka tidak akan ditangkap polis, kalau ditangkap pun, mesti akan dilepaskan serta merta. 

Ibubapa sangat berwaspada pada waktu ini. Anak-anak kecil tidak dibenarkan keluar rumah bersendirian. Anak-anak yang nakal dan tidak mendengar kata juga akan ditakutkan dengan kewujudan ‘pengait’ ini. 

Pemburu Kepala Atau Tonggorib

‘Pengait’/pemburu kepala ini juga turut dikenali sebagai tonggorib oleh masyarakat Kadazandusun. 

Tonggorib adalah merupakan antara amalan etnik Kadazandusun dan Murut serta beberapa bangsa lain lagi pada zaman dahulu kala. Amalan ini menjadikan Borneo dikenali diseluruh dunia dan etniknya disegani sebagai orang yang berani. 


Selain pengait dan tonggorib, kegiatan memburu kepala turut dikenali dengan beberapa sebutan seperti magarib (Lotud); sagawi (Tobilung); pandadau (Murut Nabai) dan maginggulu (Murut Delayan).

Jika di Sarawak, kaum Iban, Kayan serta banyak lagi kaum pribuminya merupakan antara yang terkenal dengan tradisi tersebut suatu waktu dahulu. 

Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh The Patriots, penulis menyatakan; 

Kehebatan cerita si pemburu kepala dikalangan masyarakat Sarawak sememangnya tidak boleh dinafikan kerana ianya mempunyai bukti-bukti yang jelas serta asas dokumen yang kukuh berdasarkan kejadian yang pernah berlaku lebih-lebih lagi sewaktu perang wilayah berlangsung satu ketika dahulu.

 


Dan hal ini jauh berbeza dengan cerita tentang si pengait di Sabah kerana ianya masih lagi bersandarkan kepada cerita-cerita lisan yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Tengorak Membawa Rezeki

Menurut beberapa fakta, di Sabah, masyarakat zaman dahulu kala mempunyai kepercayaan bahawasanya tengorak manusia boleh membawa rezeki (hasil padi yang banyak) dan kebaikan. 

Hal ini menyebabkan kegiatan ini berleluasa pada zaman dahulu selain untuk membuktikan kehebatan mereka. Sesiapa yang kalah dalam sengketa perang akan dipisahkan kepala dari tubuhnya. 

Tengorak Digantung Di Atas Tangkob

Tengorak-tengorak yang berjaya diburu akan diletakkan di atas Tangkob. 

Tangkob sebenarnya adalah merupakan sebuah peti yang digunakan untuk menyimpan padi. Ia diperbuat daripada kulit kayu dan mempunyai bentuk silinder dengan ketinggian kira-kira tiga hingga empat kaki. 

Tradisi menyimpan tengkorak dengan cara ini dipercayai di amalkan oleh masyarakat Murut. 

Ini adalah kerana mereka mempercayai rezeki akan bertambah sekiranya tengkorak tersebut digantungkan di atas tempat menyimpan padi (tangkob).

Tengkorak tersebut akan digantung bersama-sama beberapa helai daun silad kering serta tulang belulang binatang.

Walaubagaimanapun, tradisi ini sudah lama tidak diamalkan di Sabah. Tradisi lama ini menjadi salah satu cerita yang membuktikan kegagahan dan keberanian masyarakat di Borneo pada zaman dahulu kala.




“Borneo, The Land of the Head Hunters”, adalah merupakan gelaran yang diberikan oleh masyarakat luar dunia untuk Borneo pada waktu itu. 

Cerita-cerita ‘pengait’ yang muncul di Sabah pada sekitar tahun 70-90 an setakat ini tidak diketahuinya kebenarannya. 

Mungkin hanyalah salah satu cara untuk menakutkan-menakutkan kanak-kanak demi keselamatan mereka lebih-lebih lagi kes penculikan kanak-kanak pada waktu itu juga membimbangkan. 


Sumber:

  • http://organicpeacesabahhq.blogspot.com/2019/01/musim-pengait-pernah-dengar.html
  • https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2018/10/485404/kisah-pengait-pemburu-kepala-perlu-dikaji-dibukukan
  • https://www.thepatriots.asia/pengait-tonggorib-pemburu-kepala-di-sabah/


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *