Perbahasan tentang anak muda dan politik adalah isu yang selalu dibincangkan di pelbagai peringkat. Di Sabah, kita ramai pemimpin muda yang berkualiti dan boleh diangkat menjadi pemimpin masyarakat, cuma cabaran yang sering diterima oleh kumpulan anak muda adalah struktur parti politik. Medium terbaik dan pantas untuk menjadi wakil rakyat adalah melalui parti-parti politik sedia ada – keadaan ini kurang memberi galakkan kepada pergerakan anak muda memandangkan Majlis Tertinggi sesebuah parti sering didominasi oleh golongan yang berusia.
Keadaan ini ada baik dan buruknya, sudah tentu ada yang berpandangan anak muda belum cukup matang untuk membuat keputusan yang baik jika diberikan peluang menjadi wakil rakyat. Apa yang penting, buat masa ini sudah ada seruan untuk memberi ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk menjadi pemimpin masyarakat…
Armada kata anak muda perlu diberikan peluang
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Muhammad Affan Jumahat kata anak muda wajar diberi kepercayaan sepenuhnya untuk membentuk landskap politik tempatan di Sabah.
“Kita anak muda, yang masih bersama BERSATU selepas ramai yang lain sudah pergi meninggalkan perjuangan BERSATU, akan bekerja untuk membuktikan bahawa kami mahu membentuk landskap politik matang dan relevan sesuai dengan acuan negeri kita. Saya sebagai kepimpinan baharu dalam Armada akan bekerja untuk membuktikan bahawa saya bersama rakan-rakan Armada yang lain, akan terus berjuang dan bekerja membawa nama dan perjuangan parti. Kita mahu bentuk landskap politik baharu, kita tidak mahu berpolitik tanpa kematangan dan melulu,” – Muhammad Affan, seperti yang dilaporkan Utusan Borneo
Menurut Muhammad Affan, Armada Sabah berharap agar pimpinan BERSATU di peringkat Pusat beri kepercayaan dan keyakinan kepada barisan pimpinan Armada Negeri Sabah yang baru dilantik, bagi menggantikan semula barisan kepimpinan yang sudah keluar parti. Affan berpandangan yang tinggal dalam Bersatu adalah pendekar, yang lama telah melompat. Dia cuba untuk membuktikan bahawa ramai anak muda mereka untuk berjuang bersama kita dalam Armada BERSATU.
Kita harap lebih banyak parti politik akan memberi peluang kepada anak-anak muda mereka untuk diketengahkan dalam pilihan raya memandangkan jumlah pemimpin muda – terutamanya di Sabah masih kurang. Kami percaya kombinasi di antara pemimpin muda dan berusia akan mencipta satu formula untuk membawa Sabah lebih maju ke hadapan. Peranan Parlimen Belia tidak terlalu menonjol impaknya, barangkali ia boleh diperkasakan untuk membawa suara belia lebih meluas.
Sudah ada anak muda yang mencuba dalam PRN Sabah yang lepas
Sebenarnya ada saja anak muda di Sabah yang cuba menembusi pasaran ‘pemimpin masyarakat’, cuma seperti yang kami katakan sebelum ini, parti politik dan masyarakat belum mempunyai kepercayaan kepada anak muda. Pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 ada seorang anak muda Yillson Yanggun, 23 tahun ketika itu telah menjadi calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mewakili Barisan Nasional (BN).
Menurut Yilson, usia tak seharus menjadi penghalang untuknya tampil bawa perubahan dalam masyarakat di kawasannya.
“Walaupun pengalaman dalam politik baru setahun jagung, saya tidak mahu gelombang perubahan ini disekat terutama dalam (usaha memperjuangkan) isu infrastruktur, sara hidup dan pendidikan. Perubahan memilih anak muda sebagai wakil dalam DUN Sabah perlu kerana landskap politik lama sebelum ini perlu diubah daripada hanya terus menampilkan calon senior,” – Wilson, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Ketika itu dia mengakui terkejut selepas kepimpinan parti menamakannya sebagai calon walaupun masih baharu dalam politik tempatan. Katanya, isu infrastruktur, pendidikan dan sara hidup akan terus diperjuangkan agar semua lapisan masyarakat di DUN Tandek terus mendapat manfaat dan mampu mengubah landskap kehidupan khususnya ekonomi.
Walaupun Wilson hanya mendapat tempat keempat dalam PRN Sabah yang lepas, kami percaya usaha yang dia lakukan untuk bertanding dengan bersungguh-sungguh adalah sesuatu yang layak mendapat pujian. Sudah tentu tidak ramai anak muda yang ingin menjadi ‘muka depan’ politik, memandangkan stigma buruk terhadap politik masih lagi menebal. Kami harapkan lebih ramai anak muda selepas ini cuba menonjolkan diri dalam arena politik kerana negara benar-benar memerlukannya.