Hukum Masuk Tandas Ketika Azan Berkumandang

 



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat hadith-hadith yang menyebutkan bahawa syaitan mendiami tempat-tempat yang kotor seperti tempat membuang hajat. Justeru, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk berdoa sebelum masuk dan selepas keluar dari tandas bagi berlindung daripada syaitan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Zaid Bin Arqam, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ وَ الخَبَائِثِ

Maksudnya: Sesungguhnya tempat membuang hajat ini didiami oleh syaitan. Jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan jantan dan betina.’

Riwayat Abu Daud (6)

Begitu juga, Rasulullah SAW juga menyebutkan tentang keadaan syaitan tatkala azan berkumandang. Syaitan-syaitan akan bertempiaran lari sehingga keadaan mereka terkentut-kentut supaya tidak mendengar laungan azan tersebut. Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ

Maksudnya: Apabila panggilan solat (azan) dikumandangkan, maka syaitan akan lari sambil terkentut hingga dia tidak mendengar azan lagi.

Riwayat al-Bukhari (608)

Berdasarkan hadith-hadith di atas, secara umumnya ia mengisyaratkan bahawa tandas merupakan tempat yang didiami oleh syaitan dan apabila azan berkumandang maka mereka akan bertempiaran lagi sambil terkentut agar tidak mendengar laungan azan tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada riwayat lain yang secara jelas mengatakan bahawa syaitan berkumpul di tandas ketika azan berkumandang. Begitu juga, tiada riwayat yang menunjukkan bahawa terdapat tegahan untuk masuk ke tandas waktu azan.

Lebih-lebih lagi jika sekiranya seseorang dalam keadaan terdesak untuk membuang air atau mempunyai tujuan seperti untuk bersegera ke masjid untuk menghadiri solat berjemaah, maka tiada larangan untuk dia masuk ke tandas ketika azan berkumandang.

Namun, apabila dia masuk ke dalam tandas waktu azan, maka dia akan terlepas untuk mendapat pahala menjawab azan. Hal ini kerana adalah makruh bagi orang yang berada di dalam tandas untuk menjawab azan.

Oleh yang demikian, sangatlah disarankan untuk membersihkan diri dan berwuduk lebih awal sebelum azan, supaya mendapat pahala menjawab azan tersebut dan seterusnya hadir lebih awal ke masjid untuk solat berjemaah. Hal ini kerana begitu besar pahala yang diganjarkan oleh Allah SWT bagi mereka yang menjawab azan dan hadir awal ke masjid.

WaAllahu a’lam.

Sumber : Irsyad Fatwa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *