Sebelum berlakunya penularan pandemik Covid-19, Sabah merupakan antara negeri yang menerima banyak pelancong dari luar dan dalam negeri/negara.
Biasanya, tempat popular di Sabah yang dicanang-canangkan mesti lawa, cantik, ada banyak daya tarikan dan lain-lain. Tapi berbeza pula untuk artikel pada kali ini, kami akan kongsikan 5 tempat popular di Sabah tetapi cukup menyeramkan !
Bagi sesiapa yang mencari kelainan ketika kunjungan ke Sabah, anda boleh mengunjungi lokasi-lokasi yang penuh mistik serta bersejarah yang disenaraikan di bawah.
Okay teruskan membaca.
5 Tempat Popular Di Sabah Tetapi Cukup Menyeramkan!
1. Rumah Besar Kinarut
Yang pertama, adalah Rumah Besar Kinarut. Rumah ini terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, iaitu di Jalan Baru Kota Kinabalu-Papar. Penduduk tempatan yang pernah bekerja di situ menggelarkannya sebagai ‘rumah Tuan Simon’ yang merujuk kepada nama panggilan pemilik rumah besar itu.
Rumah ini telah ditemui oleh pihak lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (SAFODA) ketika kerja penerokaan tanah untuk penanaman pokok akasia pada Ogos 1990 secara tidak sengaja. Rumah ini juga merupakan rumah besar pertama yang dibina di Borneo Utara sekitar tahun 1910-1914.
Walaupun kini tinggal rangka, ia jelas kelihatan seperti sebuah istana yang dibina dengan bahan-bahan yang mahal dan berkualiti pada zaman seperti batu-bata, jubin dan konkrit.
Menurut penduduk setempat, rumah ini dihuni oleh ‘hantu tinggi’ yang sering muncul dan dilihat oleh penduduk sekitar. Ramai juga yang mendakwa pernah melihat lembaga seperti pontianak dan mendengar suara-suara yang menyeramkan (mengilai) pada waktu malam. Tidak kurang juga aura seram yang mampu menaikkan bulu roma di seluruh badan ketika lalu berdekatan dengan binaan rumah ini.
Sherammmmm.
2. Kampung Budaya Monsopiad, Penampang
Tahukah anda terdapat sebanyak 42 tengkorak yang digantung dan disusun rapi dalam rumah di Kampung Budaya Monsopiad yang terletak di daerah Penampang ini. Sebab penyimpanan tengkorak-tengkoraktersebut mempunyai misteri tersendiri yang sudah pasti mengundang perasaan ingin tahu pengunjung.
Tengorak-tengkorak yang digantung itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan kisah pahlawan Kadazan yang gagah dan digeruni ramai kerana keberanian beliau memenggal kepala musuh. Beliau dikenali sebagai Monsopiad. Tengorak-tengkorak yang digantung tersbut dianggarkan telah berusia lebih 300 tahun.
Lokasi Kampung Budaya Monsopiad ini terletak di sebuang kampung yang dikenali sebagai Kampung Kuai Kandazon. Kewujudan Kampung Budaya Monsopiad ini menjadi bukti amalan memburu kepala yang dilakukan oleh masyarakat pribumi Sabah sejak berkurun yang lalu.
Semua tengkorak tersebut disimpan dalam rumah khas yang dipanggil pondok tengkorak yang dibina di kampung budaya tersebut. Tengkorak-tengkorak itu sebenarnya adalah tengkorak musuh yang di dipenggal oleh Monsopiad ketika beliau memerangi musuh dan penceroboh dikampungnya, termasuklahorang yang datang untuk mencabarnya.
Selain itu, tengkorak-tengkorak tersebut turut dipercayai menyimpan ‘semangat’ yang memberi kesaktian atau kekuatan luar biasa kepada pemiliknya, selain pelindung keluarga serta keturunan. Walaupun telah berusia ratusan tahun, ‘semangat’ itu dipercayai masih wujud dan sesiapa yang ingin melihatnya perlu mematuhi pantang larang bagi mengelak kemarahan ‘semangat’ tersebut.
Mesti banyak roh-roh berkelian disekitar kampung tu kan? 😱
3. Rumah Agam Agnes Keith
Agnes Newton Keith merupakan penulis yang mempopularkan Sabah melalui bukunya Land Below The Wind pada 1939. Rumah agam yang dimilikinya di Jalan Istana, Sandakan ini mempunyai kisah mistiknya yang tersendiri.
Agnes sendiri pernah menulis pengalaman seram yang dilaluinya sepanjang tinggal di rumah agam tersebut.
Antaranya ialah, beliau sering melihat wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang. Walaupun tidak begitu mempercayai kewujudan hantu, namun Agnes sendiri mengakui pernah melihat lembaga wanita tinggi lampai itu.
Selain itu, pengalaman seram turut dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri kepada G L Carson yang menetap di situ selama 12 tahun (1955-1967). Rosemary sering tinggal seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu. Ada satu hari ketika dia tinggal bersendirian, dia bermimpi terbangun pada waktu Subuh dan terdengar pintu di bilik hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti bunyi orang berjalan menuju ke biliknya.
Apabila dia membuka matanya, dia benar-benar mendapati ada satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil memerhati ke arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana selepas itu dia pengsan!
Seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968 pula pernah terserempak dengan seorang lembaga wanita berdiri di anak tangga.
Sebenarnya ada banyak lagi catatan yang dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan.
4. Agop Batu Tulug
Agop Batu Tulug merupakan sebuah gua yang menyimpan lebih kurang 125 buah keranda purba yang diperbuat daripada kayu balak. Keranda ini disusun secara bertingkat-tingkat menimbulkan misteri buat para pengunjungnya.
Terletak di daerah Kinabatangan, gua ini dikatakan menyimpan keranda yang dibuat daripada kayu balak (belian dan merbau) yang masih kukuh biarpun usianya dikatakan mencecah 400 hingga 900 tahun. Misteri ini dikaitkan dengan suku kaum Orang Sungai yang menyimpan pelbagai misteri berkaitan alam.
Gua itu ditemui pada tahun 1984 dalam sebuah ekspedisi yang diketuai oleh P Brietag, pengurus ladang tembakau di Batu Putih, Kinabatangan. Penemuan itu membawa penyelidik dari Muzium Sarawak, Barbara Harrisson, bersama penyelidik dari Muzium Sabah untuk membuat kajian.
Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan, gua itu merupakan tempat persemadian masyarakat dahulu selepas sebahagian kawasan daratan ditenggelamkan oleh banjir besar. Ada beberapa versi menceritakan, ‘pemilik’ keranda dalam gua batu kapur itu yang mempunyai ketinggian lebih kurang 40 meter.
Ada pendapat yang menyatakan bahawa, gua ini adalah tapak perkuburan orang Cina yang pernah membuat penempatan di Kinabatangan. Namun, ada juga yang mendakwa ia milik Orang Sungai kerana persamaan pada bentuk keranda berukir digunakan etnik itu yang ditemui di Agop Miasias, di Ulu Kinabatangan.
Beberapa kejadian aneh pernah dilaporkan termasuklah pelajar perempuan dirasuk ketika mengikuti rombongan sekolah melawat keranda di dalam gua tersebut.
Sebenarnya, ‘Agop’ dalam bahasa suku kaum Sungai bermaksud ‘gua’, manakala ‘Tulug’ ialah tempat tidur yang merujuk kepada tempat bersemadi orang mati. Sesuai dengan namanya, gua ini dijadikan tempat penyimpanan mayat pada masa dahulu namun keranda yang tinggal hanya lebih kurang 125 buah.
5. Gua Madai
Selain memiliki air terjun dan jambatan gantung, Madai juga mempunayi sebuah gua terletak di dalam kawasan hutan simpan Madai Baturong. Gua ini merupakan lokasi penuaian sarang burung yang diwarisi masyarakat Idahan sejak beratus tahun lagi.
Terdapat pelbagai cerita misteri, aneh dan mistik yang diceritakan oleh penduduk setempat dan disampaikan dari mulut ke mulut masyarakat kampung.
Antaranya, ramai yang pernah terserempak lembaga wanita misteri berambut panjang dan berpakaian serba hitam di pintu gua. Namun apabila meoleh ke arah itu semula, lemabag tersebut menghilangkan diri. Selain itu, ada juga pengunjung yang pernah terlihat kelibat kepala kambing bertenggek atas sebuah batu.
Penjaga keselamatan di gua itu juga mendakwa pernah ternampak seekor kambing berlari ke dalam gua sebelum hilang tanpa meninggalkan apa-apa kesan atau jejak. Apa yang menimbulkan misteri, dari mana datangnya kambing dalam gua memandangkan tiada penduduk berhampiran memelihara ternakan itu.
Masyarakat Idahan percaya gua tersebut mempunyai penunggu dan dihuni oleh makhluk ghaib. Makhluk ghaib tersebut dipercayai merupakan penjaga burung layang-layang yang datang bersarang di gua berkenaan.
Di dalam gua, terdapat dua bongkah batu besar menyerupai kerusi dan meja. Ini menguatkan lagi kepercayaan mengenai kehadiran makhluk ghaib dengan andaian bahawa batuan berbentuk kerusi dan meja itu adalah ‘perabot’ kediaman ‘mereka’.
Sumber: hyperlokal, Google Image.