65 Pelajar Pekak, Autisme dan Sindrom Down Diraikan

Tawau, 15 Sept 2023 – Seramai 65 pelajar di Pusat Jagaan Orang Pekak dan Kurang Upaya yang terletak di Jalan Lim Den Choi telah diraikan dalam satu Program Ziarah Kasih oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada mereka yang menghadapi cabaran kurang upaya, termasuklah pekak, autisme, dan syndrome down. Mereka diberikan peluang untuk mendapatkan latihan vokasional dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan mereka.

YB Rina Jainal yang merupakan ADUN Kukusan telah terpanggil untuk mengunjungi pusat jagaan ini bagi membantu memenuhi keperluan disini. Dalam program kali ini, beliau telah menyumbangkan 4 buah kipas angin dan sumbangan makanan tengahari daripada Marrybrown. Bukan setakat itu sahaja, para pelajar turut dihiburkan dengan persembahan dan aktiviti yang diadakan oleh pihak Marrybrown Tawau.

Selain itu, pusat ini juga sedang merancang untuk membina sebuah bangunan baharu yang terletak di Taman Univilla, bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Pengerusi Persatuan Untuk Orang-Orang Pekak Tawau, Dr Lu Vun Kong, berkata bahawa masih ramai yang berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan tempat di pusat ini. Beliau berharap bahawa bangunan baharu itu, yang dianggarkan bernilai 7.5 juta ringgit, dapat menampung antara 100 hingga 150 pelajar kelak.

Beliau juga menyeru agar masyarakat lebih banyak terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pusat ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan orang awam yang telah memberi sokongan kepada pusat ini selama ini. Satu larian ‘Walk For OKU’ bakal diadakan pada 1 Oktober 2023 nanti sebagai satu program kesedaran orang ramai terhadap golongan ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *