Tawau, 25 September 2023 – Program Wellness Month, sebuah program yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan di kalangan masyarakat Tawau, telah berlangsung pada 23 September 2023 di Padang Majlis Perbandaran Tawau. Program ini telah dirasmikan oleh YB Lo Su Fui, Ahli Parlimen Tawau, yang menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program kali ini.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Norsaadah Binti Omar, Ketua Penolong Pengarah Kanan Promosi Kesihatan, yang mewakili Pengarah Kesihatan Negeri Sabah. Beliau berkongsi bahawa KKM telah menganjurkan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera setiap bulan September sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Kertas Putih KKM yang menggariskan Agenda Nasional Malaysia Sihat. Beliau juga menjelaskan bahawa program Wellness Month adalah salah satu inisiatif yang selaras dengan visi dan misi KKM untuk mencapai matlamat Malaysia Sihat.
Selain itu, Dr. Shameer Khan, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan mengenai Agenda Nasional Malaysia Sihat yang mempunyai 4 teras didalamnya seperti mempromosikan kebudayaan sihat di kalangan penduduk Tawau, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan seperti fasiliti kesihatan yang mudah diakses oleh masyarakat, kawalan kesihatan kendiri dan menjaga kebersihatan persekitaran.
Program Wellness Month telah menarik minat ramai orang yang hadir ke Padang Majlis Perbandaran Tawau pada hari tersebut. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program berlangsung antaranya acara 10,000 langkah, booth jualan dan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan kesihatan, serta persembahan istimewa daripada MK K-Clique, kumpulan rap popular dari Sabah. Program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan mendorong mereka untuk menjalani gaya hidup sihat dan sejahtera.