Wahai hamba-hamba Allah, Bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.
Kamu Yakin Masuk Syurga?
Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah, Marilah kita memahami firman Allah SWT Maksudnya “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, sedangkan belum sampai kepadamu ujian sebagaimana yang pernah berlaku ke atas umat yang terdahulu sebelum kamu? Mereka telah ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan dengan pelbagai cubaan sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: Bilakah lagi akan datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Surah al-Anbabut ayat 3).
Ayat ini ditujukan kepada orang yang lemah semangat di kalangan umat Islam dan yang bertanya, bilakah Allah menunaikan janji untuk memenangkan Islam ini? Islam dihentam oleh musuh-musuhnya yang datang daripada segenap penjuru. Tidakkah Allah itu Maha Berkuasa? firman Allah SWT bermaksud “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “ Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi”. Mengapa Allah tidak jadikan kemenangan itu dalam sekelip mata? Tidakkah Allah itu Maha Berkuasa?
Pertanyaan ini bukan sahaja oleh orang-orang Islam di zaman ini, tetapi termasuk di zaman Rasulullah SAW. Apabila mereka disiksa yang ketika mereka berada di Makkah, khususnya dikalangan mereka yang lemah tidak berdaya dan tidak ada pelindung lalu mereka mengadu kepada Rasulullah SAW. Kata Khabab bin Al-Arat RA Kata Khabab “Mengapa Rasulullah tidak memohon pertolongan untuk kami? Mengapa Rasulullah tidak berdoa untuk kami?” Jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya umat sebelum kamu ada yang ditanam hidup-hidup, ada yang dibelah dari kepala dengan gergaji sehingga terbelah dua tubuhnya, ada yang disikat tubuh dengan sikat besi yang meluruhkan kulit, daging dan urat sehingga ke tulang, tetapi tidak menghalang mereka dari agamanya.
Kemuliaan Iman
Demi Allah, akan disempurnakan urusan agama ini sehingga orang yang berjalan dari Sana’a ke Hadramaut tidak takutkan lagi melainkan kepada Allah dan tidak takutkan serigala yang mengganggu kambing ternakannya, tetapi kamu adalah orang-orang yang terlalu gopoh”. Kemenangan Allah itu sangat mahal harganya untuk dibayar dengan harta dan jiwa raga serta pengorbanan.
Kemuliaan iman yang diberi oleh Allah kepada manusia mengatasi malaikat di langit dan makhluk-makhluk yang lain. Allah meletakkan manusia di dalam syurga pada hari kiamat, sedangkan malaikat itu menjadi pekerja. Manusia akan mendapat nikmat di dalam syurga yang penuh dengan nikmat. Tetapi syurga itu mesti dibayar dengan harga yang mahal, iaitu dibayar dengan iman. Iman yang mahal itu diuji oleh Allah SWT dengan ikhlas dan jujurnya kepada Allah. Maka mereka yang beriman dihentam dan diganggu oleh musuh-musuh, serta disiksa diri, harta, keluarga dan kedudukannya. Kehidupannya sangat mencabar. Hanya mereka yang tahan uji sahaja mendapat kejayaan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Demikianlah yang dialami oleh umat di zaman dahulu sehingga orang menganggap Islam suatu yang mustahil untuk mencapai kemenangan. Ketika Nabi Nuh AS berjuang selama 950 tahun, dalam perjalanannya, orang mengatakan Nabi Nuh AS mustahil mendapat kejayaan dan kemenangan dalam dakwahnya. Setelah itu, Allah membinasakan musuh-musuhnya dengan taufan yang besar. Maka Nabi Nuh AS dan pengikutnya diberi kemenangan oleh Allah SWT. Nabi Ibrahim AS menghadapi Namrud yang menakluk dunia dengan bala tentera yang ramai. Nabi Ibrahim AS dihalau oleh raja dan ayahnya. Lalu meninggalkan tanah airnya dan hidup berdagang. Orang menganggap Nabi Ibrahim AS gagal mengalahkan Namrud.
Tetapi apabila tiba masanya, Allah SWT membinasakan Namrud dan bala tenteranya dengan nyamuk yang dianggap lemah. Begitu juga dengan Nabi Musa AS yang menghadapi Firaun, di zamannya yang mempunyai berjuta bala tentera. Nabi Musa AS yakin dengan pertolongan Allah SWT. Baginda sanggup berjuang puluhan tahun sehingga Allah memerintah Nabi Musa AS berhijrah meninggalkan negeri Mesir bersama dengan pengikutnya. Apabila mereka sampai di tepi Laut Merah, mereka berasa cemas kerana Firaun dan bala tenteranya yang ramai berada di belakang mereka.
Allah Ta’ala berfirman:“Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.”Nabi Musa AS menunjukkan keyakinannya kepada Allah SWT:“Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolongan-Nya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku.
Akhirnya Firaun dibinasakan oleh Allah SWT bersama bala tenteranya manakala Nabi Musa AS menuju ke Palestin dan Baginda wafat di sana. Kemenangan dunia disambung oleh pengikut pengikutnya yang setia dan beriman.
Janji Kemenangan
Begitulah Nabi kita Muhammad SAW, mempunyai keyakinan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT ketika berhijrah hanya bersama- sama Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Walaupun Baginda diburu oleh Suraqah bin Malik, pahlawan Quraisy dengan senjata yang terhunus. Allah menyelamatkan baginda Rasullullah daripada dibunuh oleh Suraqah dan akhirnya melutut di hadapan Nabi SAW. Nabi bersabda: “Wahai Suraqah, aku janjikan kepadamu hadiah gelang emas kebesaran kerajaan Parsi”.
Akhirnya, janji Rasulullah SAW ditunaikan oleh Saidina Umar bin Al-Khattab dengan menyerahkan gelang tersebut setelah kejatuhan kerajaan Parsi di zaman pemerintahannya. Walaupun kita ditimpa pelbagai fitnah, namun dengan kekuatan iman dan kesabaran, maka segala halangan dapat diatasi dengan jayanya ingatlah janji Allah tetap benar sebagaimana firmannya yang bermaksud “Sesungguhnya tiap-tiap kesusahan disertai kemudahan” dan firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” surah al-Sharh 6 dan surah Muhammad 7.