Sandakan, 11 November 2023 – Sebuah kilang ais kiub di Batu 3, Sandakan, telah mengalami kebocoran gas amonia yang membawa maut kepada seorang pekerja dan 17 lagi mangsa mengalami kecederaan, semalam. Menurut Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek, kejadian berlaku ketika seorang mekanik bersama tujuh pekerja lain sedang melakukan kerja penyelenggaraan pada mesin pemotong ais.
Beliau berkata, semasa proses penyelenggaraan, paip sistem penyejukan rosak dan menyebabkan gas amonia tersembur keluar dari tiub. “Pekerja yang berada dekat dengan paip yang rosak terdedah kepada gas amonia dan pengsan. Beliau kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) tetapi disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Baca Juga : Malaysia Menang Lagi Kes Tuntutan Kumpulan Sulu di Mahkamah Perancis
Beliau menambah, seramai 18 pekerja yang berusia antara 21 hingga 55 tahun berada di lokasi kejadian pada masa itu. “Daripada jumlah itu, 17 pekerja lain turut mengalami kesan sampingan akibat terhidu gas amonia seperti sesak nafas dan kulit melecet. Mereka kini dirawat di HDOK,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian kebocoran gas amonia dan kes telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut. Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengelakkan daripada mendekati kawasan berkenaan sehingga situasi pulih sepenuhnya.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini