TAWAU : Semakin ramai penduduk di daerah ini menyedari kepentingan program vaksinasi COVID-19 yang dilakukan oleh pihak kerajaan
Keutamaan Kepada Pengusaha Bot Penambang
Terbaharu, pengusaha bot penambang di daerah ini menggesa pihak kerajaan supaya mereka turut diberikan keutamaan untuk diberikan vaksin seperti petugas barisan hadapan.
Juragan bot penambang, Fazlan Oweng, 29, berkata mereka sangat terdedah dengan penularan wabak kerana setiap hari berdepan dengan orang ramai.
“Kami tidak tahu sejarah perjalanan dan aktiviti harian semua penumpang, mungkin mereka juga salah seorang pembawa wabak berkenaan,”katanya
Menurutnya, semua pengusaha bot sudah menyediakan semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak kerajaan seperti MySejahtera, Sanitasi, penjarakan fizikal dan pelitup muka.
“Namun, bagi saya itu tidak bermakna kami sudah bebas daripada terkena jangkitan wabak selagi tidak diberikan vaksin.
Vaksin Adalah Solusi Setakat Ini
“Vaksin merupakan satu-satunya kaedah yang paling mujarab pada ketika ini sekiranya tidak mahu penularan wabak terus berlaku,”katanya
Fazlan berkata, pihak kerajaan juga harus memberikan perhatian kepada golongan seperti mereka yang bekerja dan berurusan dengan ramai orang.
“Jumlah pengusaha bot tidak ramai dan mungkin kerajaan boleh memberikan prioriti kepada kami untuk diberikan vaksin.
“Hal ini kerana, kami juga seperti petugas barisan hadapan yang berhadapan dengan orang ramai setiap hari,”katanya
Untuk rekod, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun hingga 14 Jun depan, semua bot penambang dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.
Sumber : Utusan Borneo Online