PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa kesemua mangsa gigitan anjing di Sarawak kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan vaksin rabies serta Immunoglobulin Rabies (RIG). Dalam kenyataan terkini, KKM memberitahu bahawa sebanyak 11 kes diterima sebagai pesakit luar. Manakala satu kes dimasukkan ke hospital untuk rawatan luka dan telah discaj pada Khamis yang lalu.
Menurut KKM, kesemua 11 kes ini adalah hasil daripada gigitan oleh anjing liar yang sama. Anjing berkenaan telah ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan pada 8 Januari lalu. Ujian makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) pada 11 Januari menunjukkan anjing tersebut positif rabies.
Bagi kes ke-12, yang melibatkan gigitan anjing peliharaan di Lorong Tabuan Timur, Kuching, mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 7 Januari. Anjing tersebut telah diserahkan secara sukarela kepada pihak berkuasa tempatan, dan ujian makmal DVS juga menunjukkan keputusan positif rabies.
KKM menyatakan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama DVS, pihak berkuasa tempatan, dan agensi berkaitan akan meningkatkan aktiviti kawalan di kawasan terbabit. Ini termasuk kempen vaksinasi anjing untuk mengawal penularan jangkitan rabies di kalangan haiwan ini dan masyarakat setempat.
Baca Juga : Cungkil Bakat Melalu Sukan Futsal
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini