Pengertian Wilayah: Apa yang warga Sabah & Sarawak perlu tahu


Berlegar di ruangan media sosial pada hari ini berkenaan dengan status baharu yang diberikan kepada Negeri Sabah dan Negeri Sarawak. Namun, adakah ianya benar dilaksanakan? 



Poster yang tular di media sosial hari ini

Pertukaran status daripada negeri kepada wilayah bermula apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan sebuah keputusan dan arahan daripada mesyuarat kabinet pada awal bulan ini dengan mengumumkan panggilan untuk Sabah dan Sarawak ditukarkan kepada wilayah dengan serta merta. Perkara ini juga turut disusuli dengan ucapan beliau ketika hadir di sebuah majlis di Sarawak baru-baru ini. Namun berita ini masih tidak mempunyai maklumat yang sahih, hanya dengan poster yang berlegar diruangan media sosial. 


Tuntutan Status Wilayah 

Tuntutan status wilayah ini telah lama dibuat, sejak dari zaman pemerintahan PH yang lepas ketika pimpinan negara diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Namun, perkara ini tidak dilaksanakan atas beberapa faktor antaranya, pindaan di parlimen gagal akibat tindakan pemimpin parti pembangkang ketika itu yang tidak menyokongnya sehingga menyebabkan Sabah hanya kekal sebagai sebuah negeri yang sama taraf dengan negeri-negeri lain.

Menerusi satu temuramah yang dibuat oleh pihak Berita Harian bertarikh 18 September 2018 bersama dengan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, Pakar perlembagaan yang juga pensyarah undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), “Status Wilayah Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijangka akan berbeza dengan negeri Persekutuan lain wajar dikaji semula kerana hal ini akan menentukan samada negeri di Borneo ini akan memperoleh status seperti negeri persekutuan yang lain atau mendapat taraf rakan sekutu lebih tinggi.

Perjanjian Malaysia 1963

Tuntutan yang dilakukan berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). MA63 adalah perjanjian antarabangsa untuk menyatukan tiga negeri sebagai Malaysia dan berdaftar di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970. Dibawah perjanjian ini, ianya bakal memberi kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak dalam beberapa urusan yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri berkenaan.

Perbezaan Terma “Wilayah Persekutuan” dan “Wilayah”

Kedua-dua terma yang dinyatakan diatas adalah berbeza. Wilayah persekutuan memperuntukkan wilayah yang ditadbir secara langsung oleh kerajaan Persekutuan Malaysia dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan. Tidak seperti negeri-negeri lain bagi Malaysia, Wilayah Persekutuan tidak diperintah oleh kerajaan negeri, sebaliknya terletak di bawah pentadbiran Persekutuan dan diperintah oleh Yang di-Pertuan Agong. Terdapat tiga bahagian dalam Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 

Manakala untuk wilayah pula ialah merupakan taraf pembahagian kawasan pemerintahan di dalam satu negara. Wilayah biasanya merupakan kawasan satu bandar istimewa dalam satu negara, sebagai contoh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah ibu negara Persekutuan Malaysia. Perkataan wilayah juga boleh diterjemah sebagai membawa maksud yang sama dengan perkataan Province (Provinsi) bahasa Inggeris, yang mempunyai taraf yang sama dengan negeri. Wilayah juga bermaksud sesuatu kawasan yang menjangkau dua atau lebih kawasan pentadbiran.Wilayah juga terdiri dari dua negeri atau lebih.


Apa yang sepatutnya berlaku dengan pertukaran status ini adalah, Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah tiga wilayah yang berbeza dan setiap wilayah akan mempunyai wakil yang berbeza dalam pentadbiran. Hal ini juga akan membolehkan Sabah dan Sarawak tidak lagi dilayan seperti negeri-negeri lain di Malaysia. Hal ini kerana pentadbiran negeri-negeri lain di Malaysia semestinya tidak sama dengan Sabah dan Sarawak atas faktor keluasan kawasan serta penduduk yang berbilang kaum. 

Sekiranya hal ini berlaku, banyak perubahan yang perlu dilakukan terutamanya terma didalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya Artikel 160 Perlembagaan Malaysia iaitu mentakrifkan pelbagai istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Malaysia. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan (a) lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura atau (b) ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut. Perubahan ini perlu dilakukan agar tidak menyebabkan kekeliruan terhadap status sesebuah kawasan. Kewujudan Perkara 160 (2) yang berkaitan dengan pemberian hak-hak istimewa ini perlu dilihat dan difahami daripada perspektif sejarah.

Adakah perkara ini benar-benar berlaku ? Penjelasan perlu dilakukan oleh pihak yang berkenaan agar tidak memberikan kekeliruan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. 

Sumber : 
1. http://www.pnbbcportal.com/2021/04/08/wilayah-sabah-sarawak-kkmm-laksana-pertukaran-nama-cawangan/
2. 
https://www.borneotoday.net/status-sabah-sebagai-wilayah-gagal-kerana-umno-pas/
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/475258/kaji-status-wilayah-sabah-sarawak-dalam-ma63
4. https://ms.wikipedia.org/wiki/Wilayah
5. https://www.theborneopost.com/2021/04/08/historical-facts-clearly-show-sarawak-and-sabah-not-like-peninsular-malaysian-states-abd-karim/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *