TAWAU, 25 Dis — Gara-gara dikejar orang awam selepas menyamun mangsa menggunakan parang panjang, seorang lelaki terpaksa memecut motosikal yang disamunnya ke Balai Polis Tawau di sini, untuk menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan polis pada 8.10 pagi iaitu 20 minit selepas menyamun motosikal jenis Modenas GT milik seorang lelaki di Jalan Tawau Lama.
“Mangsa meminta bantuan orang awam yang berada di kawasan kejadian untuk mengejar suspek, namun suspek yang menunggang motosikal samun itu melarikan diri sehingga ke dalam kawasan Balai Polis Tawau dan ditahan bersama senjata tajam berukuran 68 sentimeter,”
katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum itu, Peter berkata suspek turut menyamun menggunakan parang sama terhadap seorang lelaki yang memandu kenderaan jenis Nissan Frontier di Jalan Tanjung Batu Darat pada 7 pagi.
“Suspek kemudian melarikan kenderaan mangsa menuju ke Kawasan Jalan Tawau Lama, namun tiba di Bulatan Jalan Tawau Lama, kenderaan yang disamunnya itu kehabisan minyak dan suspek meninggalkan kenderaan berkenaan di tepi jalan,” katanya.
Peter berkata permohonan reman suspek akan dikemukakan esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Tawau untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati, modus operandi yang digunakan suspek bagi kedua-dua kes adalah sama iaitu suspek menggunakan parang panjang dan menahan motosikal serta kereta mangsa. Suspek kemudian mengarahkan mangsa turun dari kenderaan masing-masing sebelum dilarikan,” katanya lagi.
Katanya berdasarkan semakan rekod lampau suspek, dia didapati pernah ditahan empat kali sejak 2014 sehingga tahun lalu melibatkan kesalahan penyalahgunaan dadah.
Sumber: bernama.com