TAWAU – Kerajaan Pusat digesa untuk memberi perhatian lebih kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan di daerah ini sejajar dengan perpindahan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah, menyatakan bahawa Tawau mempunyai potensi yang besar untuk menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan Sabah secara keseluruhannya.
Menurut beliau, kedudukan strategik Tawau sebagai bandar sempadan antara ibu negara Indonesia dan Malaysia menjadikan daerah ini sebagai pintu masuk utama yang bakal menghubungkan kedua-dua negara.
“Adalah penting untuk kita memperkasa peluang ekonomi, terutamanya dalam sektor pelancongan bersama negara jiran Indonesia. Kerajaan Pusat perlu memperuntukkan lebih banyak sumber. Peruntukan ini untuk membangunkan kawasan Pulau Sebatik dan Serudong. Terutama sebagai titik hubungan utama antara Indonesia dan Malaysia,” katanya kepada media pada hari ini.
Beliau sebelum ini telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Heni Hamidah, di kediamannya di sini.
Baca Juga : Kerjasama PBS-STAR Bakal Jadi Realiti
hubungan antara dua negara ini perlu diperkukuhkan
Dalam pada itu, Liew turut mengucapkan penghargaan kepada Heni atas usahanya dalam melaksanakan program pembangunan ekonomi bersama antara Malaysia dan Indonesia semasa beliau memegang jawatan di KRI Tawau.
“Saya berharap usaha yang telah dilakukan oleh Ibu Heni dan KRI di sini dapat diteruskan pada masa akan datang. Hal ini untuk memajukan kerjasama ekonomi dan potensi antara kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Heni menyatakan bahawa hubungan antara dua negara ini perlu diperkukuhkan, mempertimbangkan kebergantungan antara kedua-dua pihak di sini.
Beliau, yang telah berkhidmat di Tawau selama lebih tiga tahun, berharap agar laluan pengangkutan antara Indonesia dan Tawau dapat diperluaskan. Terutama melalui koneksi udara dan darat, selain dari laluan perairan yang sedia ada.
Selain itu, beliau juga menambah “Saya amat terkesan dengan keramahan dan kemesraan masyarakat tempatan di Tawau. Mereka sangat terbuka dengan kedatangan warga asing, termasuk warga Indonesia. Saya merasa seperti di rumah sendiri dan bersama saudara sendiri di sini,” ujarnya.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini