Runner Bukit ~ Anak Muda Tawau Tampil Wujudkan Kelainan Dalam Dunia Runner


Kerjaya Sebagai Seorang Runner

“Runner” merupakan salah satu pekerjaan yang menjadi pilihan ramai anak muda dan juga alternatif lain buat mereka yang kehilangan kerja pada musim pandemik ini. Pekerjaan ini menawarkan perkhidmatan menghantar barang pada asalnya tetapi kini skop kerjanya jauh lebih besar. Pada masa kini, runner bukan sahaja menawarkan khidmat penghantaran barang tetapi khidmat lain-lain juga seperti mengambil barang di pejabat pos dan membantu klien untuk membeli barangan di pusat beli-belah ataupun supermarket mengikut senarai barang yang disediakan. 



Runner Bukit Idea Asal Anak Muda Tawau

Berlainan pula dengan seorang anak muda yang bernama Mohd Hasriansyah bin Hassim, berumur 24 tahun yang berasal dari Tawau ini memilih untuk turut menawarkan perkhidmatan sebagai runner di bukit atau dikenali sebagai “Runner Bukit”.

Menurut beliau, idea untuk menjadi Runner Bukit ini muncul apabila terkenang Malim Gunung yang menawarkan perkhidmatan mengangkat barang untuk pendaki gunung selain mahir selok-belok gunung. Disebabkan gunung yang terdapat di Tawau kurang menjadi tarikan awam sebagai tempat yang ideal untuk berekreasi, maka idea untuk menjadi Runner Bukit adalah pilihan yang ideal (edited).

Runner Bukit Beraksi Di Bukit Panchang

Hasriansyah menawarkan perkhidmatan sebagai Runner Bukit di Bukit Panchang yang terletak di Kinabutan Tawau, Sabah disebabkan jalanannya yang luas dan memudahkan pergerakannya untuk turun dan naik. Beliau menerima bayaran dari serendah RM15 sehingga RM20 untuk 1 kilogram berat barang. Apabila ditanya kenapa memilih untuk menjadi Runner Bukit yang cabarannya jauh lebih besar daripada runner biasa, 

Beliau menjawab; 

Untuk mewujudkan kelainan, meningkatkan stamina diri, serta melatih kesabaran. Selain itu, dapat menikmati ketenangan di dalam hutan dan menghirup udara segar sekali-sekala jauh dari kesibukan bandar.

Selama menjadi runner biasa dalam tempoh setahun ini, antara pengalaman menarik beliau adalah ketika membeli barang keperluan untuk mereka yang susah ataupun takut untuk keluar rumah pada musim Covid ini. Cabarannya berganda apabila dia juga terpaksa untuk berhati-hati agar tidak dijangkiti oleh virus tersebut ketika keluar membeli barang di tempat umum. 

Harapan Hasriansyah untuk masa akan datang adalah menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya dengan mencuba sesuatu yang baru dalam dunia runner seperti menjadi Runner Bukit untuk mewujudkan kelainan dan keunikan tersendiri. Beliau juga berpesan untuk orang awam yang selalu menjadikan aktiviti mendaki bukit aktiviti kegemaran agar sering menjaga tingkah laku dan tutur kata ketika beraktiviti dan tidak lupa juga untuk sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak meninggalkan sampah sarap di atas  bukit. 

Untuk mendapatkan perkhidmatan beliau boleh hubungi beliau di Facebook atau di talian 01133769096. Semoga usaha ini memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk terus berusaha keras dan menjadi insan yang bermanfaat untuk orang lain. 

Terus maju anak Tawau!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *