Sejak pihak kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan bermula bulan Mac yang lalu, bumi Tawau terus subur dengan kehadiran orang baik-baik sehingga kini. Pelbagai pihak termasuklah NGO mahupun individu perseorangan turun padang bagi membantu sesiapa yang terjejas.
Bantuan yang disalurkan berupa pelbagai bentuk bantuan barangan keperluan seperti makanan serta bantuan keperluan untuk kegunaan pihak Hospital Tawau kita. Tidak cukup dengan itu, penubuhan tabung makanan pula kini mula giat diwujudkan. Ini cukup membuktikan bahawa warga Tawau memang prihatin!
AMBIL KETIKA PERLU, BANTU KETIKA MAMPU
Penubuhan tabung bantuan makanan yang diasaskan oleh Arli bin Sabar atau mesra dikenali sebagai Tuan Arli, mula beroperasi pada hari Khamis, 19 November. Lokasi tabung makanan ini terletak di Stesen Petronas Jalan Kuhara 2 Tawau. Tuan Arli yang juga merupakan seorang pengusaha stesen minyak Petronas dan pemilik kedai serbaneka, Gemilang 24 & Gemilang Supermarket yang terletak di daerah Tawau berkata,
” Sebenarnya saya tubuhkan tabung bantuan makanan ini untuk membantu setakat yang mampu. Saya sudah lama berniat untuk membuka tabung bantuan makanan ni. Mula-mula dulu rancang nak buat di supermarket, tapi last-last buat di stesen petronas sahaja dan kebetulan juga supermarket saya sebelah stesen saya juga. “
Menurut beliau lagi, tabung bantuan ini tidak mensasarkan golongan tertentu dan terbuka kepada sesiapa yang rasa memerlukan. Antara barang keperluan yang disediakan adalah seperti beras, minyak masak, gula, tepung, mee hun, telur dan sardin. Tabung bantuan makanan ini akan terus beroperasi selagi stok barangan masih ada.
Beliau berharap agar lebih ramai yang turut sama-sama membantu dan sudi berkongsi rezeki dengan menubuhkan lebih banyak tabung bantuan makanan atau membantu pihaknya dengan menyumbangkan barangan keperluan agar stok bekalan bantuan tidak terputus.
SALURKAN SUMBANGAN DENGAN BELANJA DI GEMILANG SUPERMARKET
Selain itu, anda juga boleh juga berbelanja di Gemilang Supermarket sebelah stesen dan menyerahkan sumbangan kepada stesen Petronas Jalan Kuhara 2 untuk diagihkan kepada yang memerlukan. Sama-sama kita sokong usaha murni ini dengan rajin-rajin berbelanja di kedai serbaneka dan supermarket milik beliau. #supportlokal
Sesiapa yang ingin mendapatkan bantuan boleh terus pergi ke Stesen Petronas Jalan Kuhara 2 Tawau, atau menghubungi pihak stesen di talian 089-755366 untuk sebarang pertanyaan.
Semoga segala usaha kecil yang kita lakukan ini dikira sebagai amal jariah kita. Terima kasih juga kepada semua pihak yang tidak berputus-asa untuk menyalurkan bantuan dan sudi berkongsi rezeki bersama warga Tawau. Admin mendoakan kita semua dimurahkan rezeki dan pandemik ini segera berakhir. Amin!
Sumber : Facebook Arli Sabar