Perlumbaan Perahu Naga Platform Pupuk Perpaduan

perahu naga

TAWAU : Tawau sekali lagi menjadi tuan rumah kepada pertandingan perlumbaan perahu naga yang kini memasuki tahun ke-37 penganjurannya. Acara yang penuh dengan semangat kesukanan ini telah berjaya menarik minat pelbagai kaum, menunjukkan bahawa budaya bukanlah penghalang untuk kita bersatu hati.

Majlis perasmian pembukaan perlumbaan ini telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Dalam temubualnya, beliau menyatakan kegembiraan dan keterujaannya dengan kehadiran pelbagai kaum di acara tersebut. “Saya berasa sangat gembira dengan kehadiran saya di sini. Selain suku kaum Tionghoa, ramai bangsa lain yang hadir di sini, malah lebih ramai lagi daripada kaum Tionghoa sendiri,” katanya.

perahu naga

Ucapan beliau mencerminkan bahawa acara seperti ini mampu menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang budaya dan etnik. Nizam menekankan bahawa perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam mencapai hasrat dan cita-cita Ketua Menteri Sabah di bawah polisi Sabah Maju Jaya. “Inilah yang kita mahukan supaya rakyat yang berbilang kaum saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain,” tambahnya.

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Penganjuran Yang Lebih Besar

Beliau juga menyuarakan harapannya untuk melihat penganjuran acara ini berkembang lebih besar pada masa akan datang. Terutama dengan penyertaan dari peserta luar negara. Ini bukan sahaja akan meningkatkan taraf pertandingan, tetapi juga memperkenalkan budaya dan semangat kesukanan Malaysia kepada dunia. Nizam menyeru semua peserta untuk menyemai semangat kesukanan sepanjang pertandingan ini.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah Ahli Parlimen Tawau, YB Lo Su Fui, yang memberikan sokongan penuh kepada penganjuran pertandingan ini. Kehadiran beliau turut memeriahkan lagi acara dan menunjukkan komitmen pihak kerajaan dalam mempromosikan perpaduan dan keharmonian melalui sukan.

perahu naga

Pertandingan perahu naga di Tawau bukan sahaja menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, tetapi juga menjadi bukti bahawa budaya bukanlah penghalang untuk kita bersatu hati dan hidup dalam harmoni. Acara ini diharap dapat terus menjadi wadah perpaduan dan semangat kebangsaan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *