RANAU – Tular di media sosial mengenai kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang pagi tadi. Runtuhan itu melibatkan kawasan lereng gunung dipercayai berlaku jam 1.20 pagi semalam. Kejadian ini hanya disedari orang ramai pagi tadi. Susulan daripada kejadian tersebut, air Sungai Mesilau yang mengalir ke Sungai Liwagu di Ranau bertukar menjadi berlumpur.
Kejadian ini dikatakan hampir sama seperti kejadian banjir lumpur selepas gempa bumi berskala 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada Jun 2015. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata pihaknya menerima maklumat daripada rakaman video yang tular di media sosial pagi tadi.
Susulan itu katanya, sepasukan bomba digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan. “Pemantauan segera dijalankan berhampiran runtuhan bagi memastikan masyarakat di kawasan berhampiran selamat.”
“Pemantauan turut dilakukan bersama dengan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, kejadian runtuhan itu tidak membabitkan kerosakan harta benda. “Bagaimanapun anggota masih menjalankan pemeriksaan berhampiran lokasi runtuhan,” katanya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Mengimbau kembali kejadian gempa bumi sekitar 8 tahun lalu, runtuhan besar batuan di puncak Gunung Kinabalu dilaporkan berlaku berhampiran stesen Laban Rata. Kejadian ini menyebabkan kira-kira 190 orang termasuk 137 pendaki terperangkap di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.
Runtuhan itu menyebabkan 18 mangsa maut selain menimbus sebahagian besar laluan ke puncak gunung dan merosakkan kemudahan seperti pondok dan rumah penginapan selain mengubah landskap gunung berkenaan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini