Mangsa Kebakaran Kampung Kinabutan Kecil Terima Kunjungan ADUN Apas

TAWAU – Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, menasihatkan agar penduduk lebih berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan selepas melawat mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Kinabutan Kecil. Kebakaran yang melibatkan 11 ketua isi rumah (KIR) ini berlaku di kawasan DUN Balung, yang bersempadan dengan kawasan DUN Apas. Dalam kunjungannya, Nizam melahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap mangsa-mangsa yang terjejas dan menyampaikan sumbangan peribadi sebagai tanda sokongan.
kinabutan
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan Ketika DItemubual Media
Nizam turut memberikan nasihat kepada mangsa-mangsa kebakaran agar lebih berhati-hati pada masa akan datang. Beliau menekankan bahawa peristiwa tragis ini seharusnya dijadikan pengajaran, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang padat dan sempit. “Aspek keselamatan perlu diutamakan,” katanya, “Rumah yang dibina harus memenuhi spesifikasi yang dibenarkan. Selain itu, penyambungan elektrik perlu dilakukan dengan teratur supaya tidak menimbulkan sebarang permasalahan.”
Beliau mengharapkan semua mangsa kebakaran di Kampung Kinabutan Kecil ini dapat bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini. Menurutnya, kesemua mangsa yang terlibat akan mula keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan kembali bersama keluarga. Bagi mereka yang tidak mempunyai penempatan sama sekali, Nizam memaklumkan bahawa usaha akan dilakukan untuk menempatkan mereka di lokasi yang sesuai seperti masjid atau dewan.
kinabutan
Datuk Nizam bersama salah seorang mangsa kebakaran melawat kawasan kejadian
Terdahulu, satu kebakaran berlaku sekitar jam 2 pagi beberapa hari yang lepas. Menurut laporan Utusan Borneo, “Pasukan bomba mendapati kira-kira lapan buah rumah dan lima buah kenderaan termasuk dua motosikal sudah musnah terbakar dalam kejadian itu.” Seorang mangsa berusia 31 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan muka selepas berusaha menyelamatkan diri dalam insiden berkenaan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *