Mayat Tidak Lengkap Ditemui 8 Bulan Lepas Sah Milik Istiqomah Ahmad Rozi

mayat

Melaka – Kehilangan seorang guru wanita selama lapan bulan akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan mayat tidak lengkap yang ditemui pada 31 Disember tahun lalu sebagai milik Istiqomah Ahmad Rozi, 33. Pengesahan ini dibuat melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang menunjukkan padanan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, menyatakan bahawa penangkapan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Polis Alor Gajah, telah membawa kepada penemuan sebahagian anggota badan mangsa. Anggota badan termasuk tulang jari dan bahagian kepala ditemui kira-kira lima hingga enam kilometer dari lokasi penemuan awal mayat.

Mangsa, yang merupakan ibu kepada tiga anak, dipercayai mengenali suspek lelaki melalui urusan pelaburan, manakala isterinya tidak mengenali mangsa. Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 6 Ogos. Polis kini memohon untuk melanjutkan tempoh reman bagi suspek lelaki.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222.

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Mayat Ditemukan Dalam Tong Sampah

Pada 31 Disember tahun lalu, mayat wanita tanpa kepala, tangan, dan kaki ditemukan dalam tong sampah di longkang tepi jalan Alor-Gajah-Tampin, berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang. Siasatan awal menunjukkan mangsa dibunuh, dan anggota badannya dipotong sebelum dibuang ke longkang.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. Pada masa itu, tiada identiti ditemukan pada mayat yang dianggarkan berusia 20 hingga 30-an. Mayat tersebut dalam keadaan mereput dan dipercayai sudah meninggal dunia antara tujuh hingga 10 hari sebelum ditemui. Ujian DNA dilakukan terhadap dua kes orang hilang sebelumnya, namun keputusan pada waktu itu adalah negatif.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *