Operasi SAR Ditamatkan: Dua Warga Filipina Hilang di Perairan Semporna

operasi

SEMPORNA – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi dua penumpang bot warga Filipina yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Sebangkat pada 6 Ogos lalu telah ditamatkan pada hari Khamis.

Komander Maritim Amir Shubli, Pengarah Zon Maritim Semporna, menyatakan bahawa operasi tersebut ditamatkan pada jam 6.30 petang. Hal ini kerana tiada petunjuk baharu yang ditemui sejak operasi bermula pada hari Selasa lalu.

 Pasukan SAR semasa menjalankan operasi di sekitar perairan Pulau Sebangkat, di sini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Zon Maritim Semporna akan terus melakukan pemantauan melalui rondaan rutin di lapangan. Sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu yang berkaitan dengan penemuan mangsa, pemakluman lanjut akan dibuat.

“Sepanjang tiga hari pencarian, kita telah meliputi keluasan 64 Batu Nautika persegi. Pencarian ini melibatkan tujuh bot dari Maritim Malaysia dan pelbagai agensi lain. Komuniti di kampung-kampung sekitar turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa. Seterusnya penduduk diminta untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang petunjuk,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini.

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Selain itu, Amir juga mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6.00 pagi Selasa lalu, dua penumpang warga Filipina, masing-masing berumur 30 tahun, dikhuatiri lemas. Hal ini terjadi apabila bot yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan Pulau Sebangkat, Semporna.

Operasi SAR turut melibatkan kerjasama dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Taman-Taman Sabah.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *