KOTA KINABALU – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghargai peranan penting yang dimainkan oleh pengamal media di Sabah. Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, menyifatkan hubungan antara LHDN dan pengamal media di Sabah sebagai satu ikatan erat. Terutama dalam usaha mempromosikan agenda percukaian nasional.
“Melalui kerjasama ini, pelbagai mesej dan informasi penting dapat disampaikan dengan meluas dan cepat. Selain itu, turut membantu masyarakat mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan percukaian,”. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Hi-Tea Ketua Pegawai Eksekutif Hasil Bersama Media Sabah pada Khamis.
Beliau menekankan bahawa peranan media amat penting dalam menyebarkan maklumat yang tepat dan sahih hingga ke peringkat akar umbi. Abu Tariq juga berharap program seperti ini akan diteruskan sebagai inisiatif LHDN untuk mengiktiraf dan menghargai sokongan berterusan dari media.
Majlis yang diadakan bersempena tema Hari Wartawan Nasional “Etika Teras Kewartawanan Mapan” itu disertai oleh hampir 40 pengamal media dari Sabah.
Dalam ucapannya, Abu Tariq turut menyentuh mengenai portal MyInvois yang dilancarkan pada 1 Ogos lalu. Beliau menjelaskan bahawa portal ini adalah sebahagian daripada usaha LHDN untuk memodenkan pentadbiran percukaian negara.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
“Portal ini berfungsi sebagai gerbang utama sistem e-Invois yang diperkenalkan untuk merevolusikan dimensi. Selain itu sistem ini juga akan mencorakan pentadbiran cukai yang menyokong usaha pendigitalan ekonomi masa depan. Pembayar cukai yang menggunakan e-Invois mengikut garis masa yang ditetapkan layak menuntut elaun modal dipercepatkan bagi perbelanjaan ICT yang berkaitan,” katanya.
Beliau menambah bahawa LHDN akan terus komited memastikan sistem MyInvois kekal berdaya tahan dan responsif. Terutamanya terhadap keperluan pembayar cukai melalui penambahbaikan berterusan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar, dan Pengarah Negeri HASiL Sabah, Azrul Hisham Shamsudin.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini