JOHOR BAHRU – Jenazah Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa, 28, yang meninggal dunia semasa operasi salvaj KD Pendekar, telah dituntut oleh isterinya hari ini.
Van Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa jenazah itu dilihat meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail pada jam 12.50 tengah hari.
Isterinya, Norazliana Bakri, 25, bersama ahli keluarga turut mengiringi jenazah. Jenazah dijadualkan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Lapangan Terbang Tawau, Sabah. Jenazah kemudian akan dikebumikan di Lahad Datu.
Terdahulu, seramai kira-kira 100 waris, pegawai dan anggota TLDM serta rakan-rakan Allahyarham Arman San berkumpul di Jabatan Perubatan Forensik HSI itu seawal 8 pagi tadi.
Semalam, seorang anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj. Operasi tersebut dijalankan untuk menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi di sini.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. Namun tiada butiran lanjut diberikan.
“Pihak kami ada terima laporan dan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi media hari ini. KD Pendekar tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos lalu.
Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam. – Berita Harian
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.