TAWAU – Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 dan 31 tahun telah ditahan oleh pihak Polis Tawau setelah disyaki terlibat dalam kes ugutan serta menyimbah cat merah ke atas sebuah rumah. Kejadian tersebut berlaku di Batu 6, Jalan Apas. Penahanan ini dilakukan di kawasan Felda Umas, Kalabakan, sekitar jam 10 malam pada malam sebelumnya.
Kejadian bermula apabila seorang lelaki berusia 27 tahun membuat laporan polis bahawa pintu dan dinding rumahnya disimbah dengan cat merah oleh individu yang tidak dikenali. Lebih mengerikan, individu tersebut turut meninggalkan sehelai kertas yang mengandungi pesanan ugutan, lengkap dengan nombor telefon, nama, dan nombor kad pengenalan mangsa, meminta agar hutangnya diselesaikan segera.
Namun, ugutan tersebut tidak berakhir di situ. Suspek juga meninggalkan pesanan suara yang lebih mengancam. Di mana mereka mengugut untuk membakar kereta milik mangsa dan keluarganya jika hutang tersebut tidak dilunaskan. Suspek turut memberi amaran bahawa mereka mengetahui keberadaan mangsa. Tindakan ini meningkatkan tekanan psikologi ke atas individu tersebut.
Berikutan laporan tersebut, satu pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, bersama anggota dari Balai Polis Bombalai segera bertindak mengesan dan menahan kedua-dua suspek. Dalam operasi penahanan itu, pasukan serbuan menemukan beberapa bukti penting yang mengaitkan suspek dengan jenayah tersebut.
Antara barangan yang dijumpai termasuk sebotol bekas kosong dengan kesan cat merah, sehelai kertas notis amaran ‘bayar hutang’, serta pen merah yang disimpan di dalam kereta milik suspek. Penemuan ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa suspek terbabit dalam insiden ugutan tersebut.
Hasil siasatan awal menunjukkan kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut. Tambahan pula, semakan rekod jenayah mendapati bahawa salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah yang berlaku di Kinabatangan. Ini menambah berat kepada kes jenayah yang sedang disiasat oleh pihak polis.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Jangan Mudah Terpedaya
Suspek kini direman sehingga 30 Ogos untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, dalam kenyataan medianya, turut memberi amaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berurusan dengan skim pinjaman. Terutamanya yang ditawarkan oleh pihak yang tidak sah. Beliau menasihatkan agar orang ramai hanya mendapatkan pinjaman dari institusi perbankan yang sah. Selain itu, mereka juga perlu meneliti perjanjian secara terperinci sebelum membuat sebarang pinjaman.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya untuk memuat turun aplikasi yang mencurigakan ke dalam telefon mudah alih mereka. Hal ini kerana ini boleh membuka ruang kepada jenayah siber dan ugutan seperti yang berlaku dalam kes ini.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.