TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan sistem dan prosedur Hospital Tawau (HT) dalam mengendalikan kes pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri KKM II Datuk Aaron Ago Dagang berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di HT, di sini, hari ini.
“Apa yang dilihat di sini adalah satu sistem pengurusan yang begitu mantap dan saya berpuas hati.
“Namun, hasil perbincangan dilakukan, masih ada beberapa perkara akan diambil kira termasuk membabitkan keperluan sebagai langkah persediaan dalam menangani Covid-19,” katanya kepada media.
Turut hadir Pengarah HT Dr Norlimah Arsad, Timbalan Pengarah HT Dr Azman Ibrahim dan Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran.
Tambah Aaron, segala cadangan berkaitan keperluan HT akan dibawa ke Putrajaya untuk permohonan peruntukan dan kelulusan segera.
“Ia bagi membolehkan pihak hospital di sini menjalankan operasi pencegahan dan rawatan kes Covid-19 secara lebih berkesan.
“Jika dilihat, persiapan di HT agak berbeza dari hospital lain, namun ia mungkin disebabkan oleh faktor dan bilangan kes yang berlaku di sini,” katanya.
Selain itu, Aaron menjelaskan bahawa hampir semua jemaah tabligh dari Tawau yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini, sudah menjalani pemeriksaan dan kuarantin di rumah.
“Pemeriksaan turut membabitkan kontak rapat seperti keluarga memandangkan ada kes membabitkan kontak peserta tabligh di tempat lain.
“Diharapkan semua pihak berkaitan agar melakukan saringan kesihatan di HT atau menghubungi pihak berwajib mengenai lokasi dan keadaan masing-masing sekiranya mempunyai risiko berlakunya jangkitan Covid-19,” katanya. – BorneoToday