TAWAU – Dalam era digital yang pesat berkembang, berita palsu semakin menjadi ancaman kepada masyarakat. Ia tidak hanya mengganggu aliran maklumat yang sahih tetapi juga mempengaruhi persepsi umum, menyebabkan salah faham yang luas. Oleh itu, menangani berita palsu adalah penting untuk memastikan ketelusan dan ketepatan maklumat dapat dipertahankan.
Untuk membantu menangani isu ini, Kromium Digital Sdn Bhd, sebuah syarikat pemasaran digital, telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan bengkel bertajuk “Unmasking the Truth: Identifying and Combating Fake News”. Bengkel ini merupakan penganjuran kali ketiga. Kali ini berlangsung selama dua hari di Hotel King Park dan dikendalikan oleh Rahman Imuda, Pengarah Kromium Digital.
Tingkatkan Kesedaran
Program ini memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dalam kalangan belia dan mahasiswa mengenai ancaman berita palsu. Program ini diadakan dengan matlamat utama untuk memastikan belia dan mahasiswa lebih cakna terhadap isu berita palsu. Golongan muda ini adalah pengguna utama media sosial, menjadikan mereka kumpulan yang paling mudah terdedah kepada berita palsu.
Dengan pendedahan kepada pengetahuan dan perbincangan terbuka, mereka dapat memainkan peranan penting dalam menghentikan penyebaran maklumat palsu di kalangan rakan sebaya dan masyarakat umum.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Mohammad Azizul Ashyraf, salah seorang peserta program tersebut berkata “banyak benda positif yang saya dapat dalam pelbagai aspek, terutamanya berkenaan dengan fake news,saya dapat pengetahuan baru selepas mengikuti program ini’. “Program ini juga perlu diteruskan pada masa-masa yang akan datang”, tambahnya lagi.
Seorang lagi peserta, Khairun Niza Abdul Razak berkata “bengkel ini memberi impak tinggi terutama dalam menelusuri topik “fake news”, bagaimana pentingnya peranan kita menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab. Selain itu, menurut saya bengkel sebegini telah memberikan manfaat jangka panjang dengan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta. Beliau menambah lagi, “malah dari sudut pandang yang lain, bengkel ini membantu individu dan organisasi untuk beradaptasi dengan perubahan teknologi.”
Pandangan dan Pendapat Diraikan
Sepanjang program tersebut, peserta yang terdiri daripada belia dan mahasiswa daripada pelbagai entiti telah terlibat secara aktif dalam perbincangan. Sesi interaktif ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu berita palsu. Selain itu turut merungkai asal usul istilah tersebut, dan mengapa sesetengah kumpulan mudah terpengaruh dengannya. Peserta juga diberi peluang untuk berkongsi pengalaman mereka tentang bagaimana berita palsu boleh mengubah naratif dan persepsi masyarakat terhadap isu-isu tertentu.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.