TAWAU: Seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau meninggal dunia akibat sesak nafas selepas menjalani latihan kecergasan di Kompleks Sukan Tawau, di sini pagi tadi.
Difahamkan, Sarjan Haziami Afdzalillah Abdullah, 56, dari Unit Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tawau, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi, ketika mangsa bersama beberapa rakan selesai menjalani latihan larian 2.4 kilometer di kompleks sukan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, mangsa dikatakan secara tiba-tiba sesak nafas dan jatuh pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Sebaik sampai di wad kecemasan hospital, doktor bertugas membuat bantuan kecemasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Sarawak itu meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.
Jenazah mangsa dikebumikan di kampung isterinya di tanah perkuburan Islam Kampung Merotai.