TAWAU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah strategik meneruskan Program KITA GEMPUR di Tawau. Ini merupakan kesinambungan daripada Majlis Pelancaran Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober lalu.
YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan program ini dilaksanakan sebagai usaha membendung manipulasi, ketirisan dan penyelewengan dalam pasaran. Program ini dilakukan dengan sokongan bersama pemegang taruh industri dan masyarakat.
Penglibatan Rakan Strategik Banteras Manipulasi
Pada hari ini, 99 wakil dari pelbagai sektor industri di daerah Tawau tampil menyatakan komitmen mereka melalui surat aku janji bagi menyokong inisiatif ini. Para wakil termasuklah 30 transporter di bawah Program Pengedaran Barang Perlu dan 29 pengusaha stesen minyak. Selain itu, turut terlibat 7 syarikat pembungkus minyak masak di bawah Program Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS), 21 pemborong dan peruncit utama, dan 12 wakil pengguna.
Penyertaan mereka mencerminkan kesungguhan bersama untuk membanteras penyelewengan barang kawalan dan barangan bersubsidi, serta memastikan pasaran yang lebih telus.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Matlamat dan Tindakan KITA GEMPUR
Program KITA GEMPUR ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan terhadap penyelewengan pasaran yang merugikan pengguna. Hal ini terutamanya dalam aspek manipulasi barang kawalan serta penipuan dalam talian dan pakatan kartel yang menjejaskan persaingan.
Program ini melibatkan kesemua pemegang Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Perkara ini termasuklah syarikat-syarikat transporter yang bertanggungjawab menguruskan pengedaran barang kawalan ke pelbagai kawasan.
Pihak KPDN turut akan memperluaskan kerjasama dengan pemain industri di seluruh Sabah agar penyalahgunaan pasaran dapat dikesan dan ditangani.
Harapan KPDN Perangi Manipulasi
Melalui KITA GEMPUR, KPDN berharap untuk mewujudkan satu rangkaian kerjasama antara pihak kerajaan dan pemain industri yang lebih efisien. Dengan penyertaan dan komitmen rakan strategik, KPDN mensasarkan peningkatan dalam ketelusan dan kawalan pasaran barang-barang kawalan dan bersubsidi.
Pihak KPDN merancang untuk memperluaskan program ini ke daerah lain bagi membentuk ekosistem perniagaan yang mampan dan bebas daripada manipulasi harga.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.