Lawatan ini membawa pengalaman yang mengagumkan untuk menyaksikan secara langsung suasana dan struktur dalam sistem demokrasi Malaysia. Di Parlimen, bangunan simbolik ini menjadi pusat perbahasan dan perbincangan ahli Parlimen dalam menyuarakan isu-isu rakyat.
Setibanya di Pintu 7, pintu masuk khas ahli Parlimen, kami menunggu giliran bersama pelawat lain sambil melihat beberapa ahli Parlimen tiba dan beramah mesra. Kawalan keselamatan yang ketat di pintu masuk memberikan rasa hormat kepada institusi ini. Satu perkara yang menyentuh hati adalah kehadiran dan keceriaan pelawat lain yang datang dari seluruh negara untuk menyaksikan bagaimana suara rakyat dipertahankan.
Suasana Dewan Penuh Tatasusila
Meninggalkan pintu keselamatan, kami memasuki Dewan Rakyat, yang kebiasaannya hanya dapat dilihat di televisyen. Menjejakkan kaki ke dalam dewan ini buat pertama kali, terasa satu perasaan yang tidak dapat digambarkan melihat susun atur dan reka bentuk yang menarik. Keunikan Dewan Rakyat ini menjadi saksi kepada perbahasan hangat di antara wakil-wakil rakyat. Lebih mengujakan apabila kelibat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut kelihatan hadir ke dalam dewan untuk mendengarkan perbahasan. Suasana dalam dewan ini penuh tatasusila, dengan bentara bergerak pantas menghantar dokumen kepada wakil rakyat yang berbahas.
Setelah itu, kami dibawa ke Dewan Negara, walaupun persidangan kali ini belum dimulakan. Dalam perjalanan mengelilingi bangunan, kami melihat potret-potret mantan Perdana Menteri serta pemimpin terdahulu yang menghiasi dinding-dinding bangunan ini. Hal ini mengingatkan kami tentang sejarah kepimpinan negara. Kami kemudian singgah di kafetaria, tempat istimewa yang boleh dikunjungi oleh ahli Parlimen, kakitangan, dan pelawat. Disini, kami sempat bertemu dengan beberapa ahli parlimen daripada pelbagai latar belakang politik, tidak sombong untuk menyapa pelawat-pelawat yang hadir ke sini.
Isu Dibangkit, Bincang Permasalahan
Lawatan kali ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan, dan kami dijemput ke kamar khas Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandi. Dalam sesi ini, pelbagai perkara dibincangkan, terutama mengenai isu-isu rakyat di kawasan Kalabakan. Rombongan kami yang terdiri daripada 14 peserta dengan latar belakang berbeza diketuai oleh Ketua Pegawai Perhubungan, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan, Encik Saripudin Nurhalim, termasuk penjawat awam, pengerusi persatuan dan wakil media. Pertemuan ini turut membangkitkan beberapa isu semasa yang menjadi kebimbangan penduduk tempatan. Perbincangan ini memberi peluang kepada ahli Parlimen mendengar masalah setempat yang mungkin boleh dibawa ke sidang Parlimen untuk tindakan lanjut.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Sebelum menamatkan lawatan, kami tidak melepaskan peluang singgah di kedai cenderamata untuk mendapatkan barangan kenangan Parlimen. Setiap peserta membeli pelbagai barangan sebagai kenangan lawatan yang tidak akan dilupakan.
Lawatan Ke YADIM Di Putrajaya
Keesokan harinya, perjalanan diteruskan ke Pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya. Disambut mesra oleh kakitangan YADIM, kami diberi penerangan oleh Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita, Ahmad Saparudin Bin Yusup mengenai sejarah dan fungsi utama YADIM dalam memantapkan usaha dakwah. Encik Ahmad Saparudin juga merupakan anak jati Sabah yang berasal daripada Kunak. Selain itu, kami juga menyampaikan beberapa isu mengenai saudara baharu di kawasan Parlimen Kalabakan yang memerlukan sokongan YADIM dalam pelbagai aspek.
Rombongan kami berpeluang berinteraksi dengan kakitangan YADIM. Hal ini membolehkan kami untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai program-program dakwah yang boleh dilaksanakan bersama di kawasan Parlimen Kalabakan. Lawatan ini berjaya membina kerjasama antara Pejabat Parlimen Kalabakan dan YADIM, selain memberikan pendedahan berharga kepada semua peserta. Akhirnya, kami menamatkan sesi dengan sesi fotografi sebagai kenangan bersama.
Lawatan ini adalah pengalaman yang tidak ternilai bagi kami semua. Lawatan ini akan dikenang sebagai satu sesi pembelajaran dan pengajaran yang berharga, membina pemahaman lebih mendalam terhadap demokrasi dan dakwah di Malaysia.
———-
Catatan daripada Ketua Pengarang, Tawaukini, Salam Undong.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.