TAWAU – Pelajar sering menganggap Matematik sebagai subjek yang sukar, menyebabkan stigma negatif yang meluas. Persepsi ini membawa kepada penurunan minat dan prestasi terhadap subjek ini, terutama di kalangan murid sekolah rendah di Sabah. Berdasarkan kajian Persatuan Matematik Sabah, kecenderungan pelajar terhadap Matematik semakin merosot.
Untuk mengatasi isu ini, Program Roadshow Bijak Sifir dilaksanakan khusus untuk murid Tahap 2 di Zon Tanjung Batu. Program ini merupakan inisiatif Pusat Parlimen Kalabakan bersama Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandi. Program ini dikendalikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen, Saripudin Nuhalim.
Saripudin berkata, program ini bertujuan untuk mengubah persepsi negatif murid terhadap Matematik dengan memperkenalkan kaedah pembelajaran sifir yang lebih mudah dan menyeronokkan. Dengan kerjasama Che Man Congak, pengasas Pentagon Math yang terkenal di TikTok, program ini menawarkan teknik belajar sifir yang mudah dan interaktif.
Melalui penyertaan seramai 580 murid, program ini juga menekankan peranan ibu bapa dalam menyokong anak-anak mereka. Ibu bapa diharapkan sedar akan potensi anak-anak dalam Matematik dan membantu meningkatkan minat mereka.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Membantu Atasi Stigma Negatif
Program ini bersifat serampang dua mata; selain membantu murid mengatasi stigma negatif, ia juga menggalakkan ibu bapa untuk mengambil langkah proaktif dalam perkembangan akademik anak-anak.
Program ini dirancang untuk diperluas ke seluruh kawasan Parlimen Kalabakan, meliputi empat zon utama: Zon Tanjung Batu, Zon Merotai, Zon Kalabakan, dan Zon Pulau. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan minat dan prestasi murid dalam Matematik.
Melalui usaha ini, diharapkan prestasi pelajar dalam Matematik akan bertambah baik. Selain itu stigma negatif terhadap subjek ini dapat dikurangkan, sekaligus menyediakan pelajar yang lebih berkualiti untuk memasuki bidang STEM pada masa hadapan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.