TAWAU – Kerajaan negeri terus memainkan peranan penting dalam membantu meringankan beban penjawat awam untuk memiliki rumah yang selesa dan mampu milik. Usaha ini diterjemahkan melalui subsidi perumahan, seperti yang ditawarkan di Taman Bayan, yang bukan sahaja menyediakan kediaman berkualiti tetapi juga memastikan kebajikan penjawat awam terpelihara.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata “dengan subsidi kerajaan sebanyak RM60,000, projek ini menawarkan rumah yang dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur, dan kawasan halaman yang luas. “Rumah ini menjanjikan keselesaan kepada pemilik, sesuai dengan aspirasi perumahan mampu milik di Sabah,”.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman Bayan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Encik Eizlan Yeo, wakil Syarikat Visa Suria, menambah bahawa Taman Bayan menawarkan keseluruhan 203 unit rumah. Sebanyak RM60,000 subsidi kerajaan diberikan untuk penjawat awam, manakala pembeli bukan penjawat awam layak mendapat diskaun pemaju.
Beliau juga mengumumkan bahawa mereka yang meletakkan deposit sebelum 1 Disember 2024 akan menikmati harga lama. Manakala selepas itu harga akan meningkat 10% hingga 15%.
Antara keistimewaan Taman Bayan termasuk jumlah rumah yang tidak terlalu banyak dan kawasan kejiranan yang selamat. Selain itu, kawasan perumahan ini juga dilengkapi taman permainan, serta pemberian empat tangki air kepada setiap rumah. Projek ini juga menawarkan nilai tambah kepada komuniti dengan persekitaran yang selesa dan mesra keluarga.
Usaha ini selari dengan matlamat kerajaan dan pemaju untuk membentuk komuniti yang harmoni dan mesra keluarga di Tawau. Dengan sokongan subsidi kerajaan serta tawaran harga menarik, Taman Bayan menjadi pilihan ideal bagi mereka yang mencari rumah pertama.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.