PULAU SEBATIK – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan utama dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara melalui operasi keselamatan yang strategik dan program kemasyarakatan. Selain mempertahankan tanah air dari ancaman luar, ATM juga terlibat secara aktif dalam inisiatif yang mendekatkan hubungan dengan masyarakat setempat, seperti Program Jiwa Murni Perdana.
Sempena sambutan 10 tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Program Jiwa Murni Perdana berlangsung dengan meriah di Pulau Sebatik. Menurut Panglima Medan Timur, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi, program ini adalah sebahagian daripada 91 inisiatif di bawah Pelan Strategik MINDEF. Program ini bertujuan merapatkan hubungan antara ATM dan penduduk setempat. Pulau Sebatik dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan perhatian khusus kerajaan terhadap keselamatan kawasan tersebut.
Program ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan gigi, dan pameran tentera. Penduduk setempat, termasuk yang datang dari kawasan terpencil hadir memberikan sokongan luar biasa terhadap inisiatif ini.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Penubuhan Pos Keselamatan Bersama
Menurut, Dato’ Sofi juga, Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara sedang merancang penubuhan pos keselamatan bersama ATM dan PGA (Pasukan Gerakan Am). Hal ini untuk memastikan keselamatan penduduk di Pulau Sebatik lebih terjamin. Sokongan penuh daripada agensi keselamatan dan penduduk tempatan diharap dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan.
Dato’ Mohd Sofi turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Hal ini termasuk ketua agensi keselamatan, penduduk kampung, warga sekolah dan ibu bapa. Tidak dilupakan juga kerjasama kerajaan negeri Sabah yang telah mempermudahkan perjalanan program. Inisiatif seperti ini diharapkan terus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pasukan keselamatan dan rakyat.
Program Jiwa Murni Perdana adalah bukti nyata bagaimana ATM bukan sahaja mempertahankan kedaulatan negara, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.