TAWAU – Sabah sememangnya istimewa dengan kepelbagaian kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni. Perpaduan dan keharmonian ini harus terus diperkukuh melalui program seperti Karnival Krismas, yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Dalam majlis perasmian karnival tersebut, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, memuji kerjasama antara Pejabat Parlimen Tawau dan Tawau Inter-Church.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa program ini akan memperkukuh semangat hormat-menghormati di kalangan rakyat Tawau. “Karnival Krismas bukan sahaja menyatupadukan rakyat berbilang kaum, malah memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan.
Ini selaras dengan seruan semua agama yang menekankan perpaduan dan kedamaian,” katanya. Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah melalui Bajet Sabah 2025 memperuntukkan dana tambahan kepada badan-badan bukan Islam. Peruntukkan ini termasuk sekolah dan gereja.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Tambahan pula, kerajaan Sabah telah mengiktiraf Krismas sebagai perayaan rasmi bermula tahun hadapan, sejajar dengan perayaan utama lain seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, dan Pesta Kaamatan.
Kehadiran sektor swasta yang menyumbang kepada penganjuran karnival turut menunjukkan komitmen semua pihak dalam memelihara keharmonian negeri ini.
Datuk Nizam juga sebagai ADUN Apas menyeru agar seluruh rakyat Sabah terus menjaga perpaduan yang telah lama terjalin. “Keharmonian ini adalah aset yang harus kita pelihara bersama demi kesejahteraan generasi akan datang,” tambahnya. Karnival Krismas bukan sekadar perayaan, tetapi simbol kukuh bahawa kepelbagaian adalah kekuatan Sabah yang sebenar.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang dan Ketua Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Aris Heru Utomo.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.