Dapat Kerja Guna Kabel Atau Kroni. Wajar Atau Tidak?Baca Disini

 



Dapat suda aku kerja wuy. Berkata si fulan kepada kawannya. Kawannya berkerut dahi, dan bertanyakan kembali. Macam mana kau boleh dapat kerja tu, sedangkan kita sama-sama pegi isi borang dan interview?Aku nda dapat pulak. Si fulan dengan bangga berkata, ada macik ku kerja situ, dia “adjust”lah masuk sana. Hebat kan? 

Begitulah perbualan diantara dua rakan berkenaan dengan dapat kerja guna kabel atau kroni. Mesti kamu selalu dengar cerita-cerita begini kan?Apa pandangan Islam berkenaan dengan situasi begini?Boleh atau tidak? Jom sama-sama kita baca penulisan artikel kali ini. 

Kenali Syafaat Atau Pertolongan

Menurut penerbitan Irsyad Al Fatwa daripada Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia, konsep menggunakan kabel atau kroni untuk mendapatkan pekerjaan boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Allah swt berfirman di dalam Surah Al-Nisa ayat 85 yang bermaksud, “sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan syafaat atau pertolongan terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk. Syafaat yang baik (حَسَنَةً)seperti mengambil berat hak-hak seorang Muslim dengan cara menghindarkannya daripada bahaya, atau mendorongnya ke arah kebaikan dengan niat ikhlas demi Allah SWT serta tidak mengambil sogokan atau rasuah. Maka pertolongan seperti ini adalah diharuskan kecuali menolong orang untuk meringankan hukuman hadd atau melanggar hak orang lain.[2]

Syafaat atau pertolongan yang buruk (سَيِّئَةً) pula adalah berlawanan dengan syafaat yang baik. Antara contoh sekarang adalah seperti orang tengah atau pertolongan dalam perkara keburukan dengan cara menyogok menggunakan wang dan harta, untuk menafikan hak orang lain atau mengambil harta orang lain.

Dua Jenis Pertolongan

Berdasarkan huraian tafsir di atas, kita dapat mengenal pasti bahawa pertolongan boleh dibahagikan kepada dua perspektif. Perspektif yang pertama adalah melalui cara yang dibenarkan seperti meminta tolong rakan-rakan untuk memudahkan urusan kehidupan tanpa menafikan hak orang lain. Contohnya, seorang majikan memilih pekerja atas dasar ingin membantu pekerja tersebut yang datang daripada keluarga yang miskin.

Perspektif yang kedua pula adalah melalui cara yang buruk dan haram. Islam melarang menggunakan ‘kabel’ dengan cara membayar sejumlah wang atau harta kepada orang lain dengan niat untuk mendapatkan sesuatu. Sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan dalam Hadis At Tirmizi menyatakan, Rasulullah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam membuat keputusan berkenaan dengan sesuatu perkara. 

Wajar Atau Tidak Guna Kroni?

Berdasar kepada penjelasan di atas maka dapat disimpulkan terdapat dua jenis ‘kabel’ iaitu yang pertama yang dibuat atas dasar telah saling mengenali dan bertujuan membantu pada masa yang sama individu berkenaan mempunyai kompetensi yang bersesuaian. Maka ‘pertolongan’ yang sebegini adalah harus dan dibenarkan. Sementara kategori yang kedua iaitulah ‘pertolongan’ dengan cara sogokan atau apa-apa bentuk favouritisme yang tidak berasaskan kompetensi. Maka inilah jenis yang diharamkan kerana ia menzalimi hak orang lain dan boleh menyemai budaya kerja tidak sihat dan pelbagai kemudharatan yang lain.

Sumber : Irsyad Al Fatwa, Mufti Wilayah Persekutuan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *