KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menghasilkan semula video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 disambut baik sebagai langkah memperbaiki naratif promosi pelancongan negara. Langkah ini turut mengambil kira sensitiviti budaya dan agama, selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Nai’im Mokhtar, menyokong keputusan tersebut dengan menyatakan bahawa masjid, sebagai lambang perpaduan dan identiti Islam, merupakan elemen penting yang harus diketengahkan.
“Saya faham kegusaran masyarakat Islam, namun kita perlu memahami bahawa masjid adalah simbol penting perpaduan di negara kita. Harapannya, elemen ini diberi perhatian dalam perincian video TMM 2026 yang baharu,” katanya.
Respons MOTAC dan Kritikan Awal
Sebelum ini, video promosi TMM 2026 dikritik kerana tidak menampilkan elemen masjid, sedangkan rumah ibadat lain seperti gereja dan kuil dipaparkan. Situasi ini mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk pemimpin pembangkang, yang menggesa video tersebut ditarik balik.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mengakui rasa tidak puas hati terhadap video tersebut dan mengumumkan video promosi baharu akan dihasilkan. Pendekatan ini akan memberi fokus kepada zon dan tempat menarik setiap negeri untuk mencerminkan keunikan budaya dan kepelbagaian di Malaysia.
Pentingnya Kesatuan dan Perpaduan
Dr. Mohd Nai’im turut menekankan bahawa perpaduan adalah asas penting dalam membina negara Madani. Beliau menyeru semua pihak, termasuk masyarakat bukan Islam, untuk bersama-sama memelihara kesatuan demi kestabilan negara.
“Perkara kecil seperti ini tidak sepatutnya mencetuskan perpecahan. Kita memerlukan elemen perpaduan dan kesatuan untuk menjayakan negara yang harmoni,” jelasnya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Usaha Memartabatkan Syiar Islam
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memartabatkan Islam. Inisiaitif ini dilakukan melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah.
“Pengukuhan syiar Islam dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan agama negeri, sektor swasta, dan NGO. Kita menyeru semua pihak untuk bersama-sama memperkukuh perpaduan demi kemajuan negara,” tambahnya.
Dengan komitmen MOTAC dan pelbagai pihak, diharapkan promosi TMM 2026 akan lebih menyeluruh dalam menonjolkan keindahan dan keunikan Malaysia, sambil menghormati sensitiviti pelbagai pihak.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.