TAWAU: Kekurangan Sijil Layak Menduduki (OC) terus menjadi penghalang utama kepada usaha menaik taraf infrastruktur sekolah-sekolah daif di Sabah, terutama di kawasan pedalaman.
Situasi ini memburukkan lagi cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Parlimen Kalabakan, yang memerlukan perhatian segera untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menegaskan bahawa isu ini sudah lama dibangkitkan di peringkat nasional. Namun langkah penyelesaian masih perlahan.
“Kita mendapat maklumat bahawa kebanyakan sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai daif ini sukar mendapat peruntukan untuk dibaik pulih. Hal ini berpunca daripada statusnya tidak mempunyai sijil layak menduduki.
“Pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melakukan sesuatu kerana ia berkait tentang keselamatan pelajar sekolah,” katanya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Anugerah Seroja dan Graduasi Tahun Enam SK Bandar Dua di Tawau. Dalam majlis tersebut, seramai 130 murid tahun enam diberi penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka dalam akademik dan kokurikulum.
“Program ini adalah usaha yang sangat baik untuk menghargai kecemerlangan murid dan memberi motivasi kepada mereka bagi melangkah ke alam persekolahan menengah,” katanya lagi.
Datuk Andi juga menggesa agar isu infrastruktur diberi perhatian serius. Hal ini kerana persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat amat penting untuk perkembangan pelajar.
“Kita tidak mahu ibu bapa berasa was-was terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Hal ini kerana tanggungjawab kita adalah memastikan pembelajaran berlangsung dalam keadaan yang terbaik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Parlimen Kalabakan akan menjadi destinasi lawatan rasmi pertama Menteri Pendidikan Malaysia dalam usaha menilai keadaan sekolah-sekolah daif di kawasan tersebut.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.