TAWAU – Pembinaan lebih banyak rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Tawau dilihat sebagai langkah kritikal untuk mengatasi masalah penempatan setinggan yang sering dikaitkan dengan risiko kebakaran besar dan kekurangan infrastruktur asas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyarankan agar kerajaan negeri dan persekutuan memberikan perhatian serius terhadap perkara ini. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Sri Aman di pusat pemindahan sementara di Kompleks Sukan Tawau.
“Kebakaran yang melibatkan lebih 80 rumah ini telah menyebabkan ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal. Ini menunjukkan betapa pentingnya usaha untuk menyediakan perumahan selamat seperti PPR dan Rumah Mesra SMJ. Terutamanya untuk mengurangkan risiko penempatan tidak terancang,” katanya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Datuk Nizam juga menyeru kerajaan negeri untuk menambah jumlah rumah PPR. Perkara ini mampu menyediakan perumahan berkualiti kepada mereka yang kurang berkemampuan. Bagi penduduk yang memiliki tanah sendiri, beliau menggalakkan mereka memohon Rumah Mesra SMJ. Hal ini memberi peluang kepada pemohon untuk membina rumah di atas tanah milik sendiri atau keluarga.
Menyelaras Bantuan Untuk Mangsa Kebakaran
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, termasuk Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Kebajikan Malaysia, PDRM, Bomba, RELA, Jabatan Pertahanan Awam, serta ahli Parlimen Tawau, yang telah menyelaraskan bantuan kepada mangsa kebakaran. NGO, individu, dan syarikat swasta juga banyak membantu meringankan beban penduduk,” tambah beliau.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan berupa barang makanan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia kepada mangsa kebakaran. Ditambah juga dengan bantuan daripada Pejabat ADUN Apas. “Bantuan ini diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mangsa dalam tempoh sukar ini,” katanya.
Rumah PPR dan Rumah Mesra SMJ bukan sahaja dapat menyediakan perumahan yang selamat dan selesa tetapi juga menjadi cara berkesan untuk menangani masalah sosial, jenayah, dan risiko bencana di kawasan setinggan. Pelaksanaan lebih banyak projek perumahan ini diyakini dapat meningkatkan taraf hidup penduduk Tawau.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.