TAWAU – Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, banyak ibu bapa berhadapan dengan kesukaran dan beban dalam menguruskan keperluan anak-anak. Hal ini termasuk dalam soal berkhatan. Kos untuk menjalani prosedur ini di klinik swasta boleh menjadi beban tambahan, terutama bagi keluarga yang kurang berkemampuan.
Oleh itu, program berkhatan beramai-ramai yang dianjurkan oleh Masjid Babul Khair, Kampung Titingan menjadi satu inisiatif yang amat bermakna dalam membantu masyarakat setempat.
Menurut YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, program ini telah memberikan manfaat kepada ramai keluarga.
“Setiap tahun, Masjid Babul Khair menganjurkan majlis berkhatan secara beramai-ramai, dan Alhamdulillah, tahun ini seramai 100 kanak-kanak telah mengambil bahagian. Program seperti ini sangat membantu dalam meringankan beban ibu bapa, terutama dari segi kos,” katanya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Ringankan Beban Ibubapa
Beliau turut menambah bahawa majlis berkhatan ini merupakan acara tahunan yang diadakan di DUN Apas, terutamanya ketika musim cuti sekolah. “Saya berbesar hati untuk menaja sepenuhnya program ini bagi memastikan lebih ramai keluarga dapat menikmati manfaatnya.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, ibu bapa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menghantar anak mereka berkhatan di klinik swasta,” tambah beliau.
Majlis berkhatan yang berlangsung di awal tahun 2025 ini mendapat sokongan penuh daripada masyarakat setempat. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Masjid Babul Khair, JKKK, Ketua Kampung, serta Ketua Anak Negeri.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.