Perpaduan Sabah: Menghargai Kepelbagaian dan Memperkukuh Keharmonian

TAWAU –  Sabah kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik, dan agama, menjadikan perpaduan asas utama kesejahteraan masyarakat. Menghargai perbezaan bermakna meraikan keunikan setiap komuniti sebagai satu kekuatan. Sikap saling menghormati dan memahami menjadikan Sabah contoh negeri yang harmoni di Malaysia.

kepelbagaian
Datuk Joachim bersama Datuk Lo dan pemimpin lain dalam acara gimik perasmian

Menurut Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, perpaduan kaum di Sabah masih berada pada tahap yang sangat baik. “Kita dapat lihat pada hari ini, bukan hanya kaum Tiong Hua yang hadir, tetapi semua lapisan masyarakat turut serta dalam sambutan Tahun Baharu Cina ini. Inilah yang saya maksudkan dengan perpaduan antara kaum, yang masih sangat hidup di Sabah.”

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Memahami Kepelbagaian Budaya dan Agama

Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menegaskan bahawa isu perpaduan yang sering diperdebatkan di media sosial tidak seharusnya menjadi penghalang kepada keharmonian. “Kita tidak boleh membeza-bezakan masyarakat Sabah berdasarkan agama dan kaum. Dengan lebih 35 etnik di negeri ini, perpaduan hanya dapat dikekalkan melalui pemahaman dan perkongsian budaya. Perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Krismas, dan Pesta Kaamatan adalah antara platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara kaum.”

kepelbagaian
Datuk Joachim ketika ditemubual media

 

Semangat perpaduan ini jelas tergambar dalam Pesta Tahun Baharu Cina anjuran Parlimen P190 Tawau, yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau. Majlis tersebut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik, termasuk tarian singa, yang menjadi simbolik kemeriahan sambutan. Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, selaku tuan rumah, turut menerima kehadiran pemimpin tempatan seperti Datuk Andi Suryady Bandy, Datuk Hamild Awang, Datuk Rina Hj Jainal dan Bapak Aris Heru Utomo yang sama-sama memeriahkan sambutan ini.

Perayaan seperti ini bukan sekadar simbol kebudayaan tetapi juga wadah penting untuk memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat. Sabah telah membuktikan bahawa dengan menerima perbezaan dan saling menghormati, perpaduan boleh terus kekal dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *