TAWAU – Generasi muda perlu memanfaatkan peluang yang disediakan oleh Pusat GiatMARA dalam memperoleh kemahiran teknikal yang relevan dengan industri masa kini. Dengan latihan yang ditawarkan, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran diri tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Pendidikan berasaskan kemahiran seperti yang disediakan oleh GiatMARA memberi kelebihan besar dalam persaingan pasaran kerja. Terutama dalam bidang elektrik dan jahitan yang mempunyai permintaan tinggi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, dalam lawatannya ke Pusat GiatMARA Tawau yang kini beroperasi di bangunan baharu di Bandar Sri Indah, menyatakan sokongannya terhadap usaha ini.
Beliau melihat sendiri seramai 26 pelajar lelaki dan wanita yang sedang mengikuti kursus latihan selama enam bulan dalam bidang elektrik dan jahitan tahap 3. Datuk Nizam mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang kepada anak-anak Sabah serta Sarawak untuk memperoleh sijil kemahiran. Melalui peluang ini, diharapkan dapat membantu mereka menjana pendapatan pada masa hadapan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Sumbangan Untuk Keselesaan Pelajar
Sebagai tanda sokongan, beliau turut menyumbangkan keperluan asas seperti katil, bantal, tilam, dan kipas. Sumbangan ini untuk keselesaan pelajar yang tinggal di asrama GiatMARA Tawau terpelihara. Beliau berharap sumbangan ini dapat memberi semangat kepada mereka untuk terus berusaha. Seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, seperti diploma dan ijazah dalam bidang kemahiran.
Selain itu, Datuk Nizam turut menyarankan agar individu yang sudah memiliki kemahiran dalam bidang jahitan dan pendawaian tetapi tidak mempunyai sijil, mengambil peluang untuk mendapatkan pengiktirafan melalui program yang disediakan oleh GiatMARA. Ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran mereka tetapi juga memberi jaminan kualiti kepada pelanggan dan majikan.

Dengan sokongan daripada kerajaan negeri serta institusi seperti Kolej Yayasan Sabah, lebih ramai belia di Sabah diharap dapat memanfaatkan peluang ini. Sekaligus menjadikan kemahiran sebagai jalan ke arah kehidupan yang lebih berjaya.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.