SEMPORNA – ATM berperanan penting dalam memastikan keselamatan negara serta menyemai semangat kenegaraan. Selain aspek pertahanan, advokasi keselamatan juga melibatkan pendidikan masyarakat, terutama generasi muda, mengenai perpaduan dan patriotisme. Melalui program ini, pelajar dapat memahami sejarah negara serta peranan ATM dalam menjaga keamanan. Sekali gus memperkukuhkan cinta terhadap tanah air.

Menurut Leftenan Kolonel Maszuraidy Bin Masduki, Komandan Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia, program ini bertujuan untuk memupuk nilai-nilai patriotisme dan perpaduan dalam kalangan murid-murid. Beliau menekankan bahawa penting bagi generasi muda memahami sejarah penubuhan Malaysia. Program ini juga memberikan peluang kepada murid untuk mengenali peranan ATM dalam menjamin keselamatan negara, khususnya di Sabah.
“Kami memilih Sekolah Kebangsaan Sulabayan setelah berbincang dengan pihak sekolah. Kami mendapati bahawa murid-murid di sini, yang majoritinya daripada keluarga B40 dan kurang akses kepada media, perlu diberikan pendedahan awal mengenai keselamatan dan perpaduan. Ini amat penting, terutamanya di negeri Sabah yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan kaum,” katanya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
“Mendapat Maklumat Tentang Tahap Keselamatan” – Guru Besar
Beliau juga menyatakan bahawa sebelum ini, program serupa telah dijalankan di Pulau Sebatik. Selain itum ATM juga merancang untuk memperluaskan program ini ke kawasan lain di Sabah pada masa hadapan. Program ini adalah sebahagian daripada Jalinan Akrab Tentera dan Awam (JATA), yang bertujuan merapatkan hubungan ATM dengan masyarakat.
Sementara itu, Guru Besar SK Sulabayan, Encik Leksing Salleh Bin Ismail, menyambut baik inisiatif ATM yang hadir ke sekolah mereka, yang merupakan sekolah kurang murid.
“Seramai 109 murid di SK Sulabayan hari ini berpeluang menjiwai semangat patriotisme serta mengenali para pejuang negara. Ini membantu mereka menghargai perjuangan terdahulu dan memahami kepentingan mencintai negara. Kami juga mendapat maklumat tentang tahap keselamatan serta peranan ATM dalam menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya.

Program ini merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz kenegaraan, ceramah dan taklimat keselamatan, tayangan video, nyanyian lagu patriotik, serta pemasangan bendera Malaysia di sekitar sekolah. Dengan pendekatan seperti ini, ATM bukan sahaja melindungi negara, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk masyarakat yang lebih bersemangat patriotik.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.