TAWAU – UMNO Sabah kini berada dalam keadaan kesiapsiagaan penuh dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tahun ini. Parti itu telah memperkemaskan jentera pilihan raya bagi memastikan kemenangan yang lebih dominan berbanding PRN yang lalu. Fokus utama adalah memperkukuhkan sokongan pengundi. Selain itu turut membuka ruang kerjasama strategik dengan pihak yang mampu memberi kelebihan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Bersedia Dari Segi Jentera Dan Strategi Hadapi Pilihan Raya Negeri
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa beliau telah bertemu dengan semua ketua UMNO bahagian di seluruh Sabah. Perjumpaan ini termasuk bersama kepimpinan sayap parti seperti Wanita, Pemuda, dan Puteri.
Beliau menegaskan bahawa UMNO Sabah telah bersedia dari segi jentera dan strategi untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam PRN nanti. UMNO juga bersedia untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat memberi manfaat kepada parti dan rakyat Sabah.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-34 yang berlangsung di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau. Majlis tersebut dihadiri oleh ratusan ahli UMNO dari Tawau dan kawasan sekitar. Kehadiran ini bagi meraikan ulang tahun parti yang telah banyak berjasa kepada pembangunan politik negara.
Antara pemimpin tertinggi UMNO yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Selain itu, turut dihadiri oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut hadir dalam majlis sambutan tersebut.

Selain menghadiri majlis sambutan ulang tahun, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berkesempatan merasmikan Pejabat UMNO Kalabakan yang terletak di Lot Taman Ria Height. Pejabat ini bakal menjadi pusat koordinasi utama bagi memperkukuh gerak kerja parti di kawasan tersebut menjelang pilihan raya.
Dengan persiapan yang rapi dan strategi yang tersusun, UMNO Sabah yakin dapat mengembalikan dominasi dalam politik negeri pada PRN nanti.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.