TAWAU – Keadaan jalan raya di laluan Merotai-Kalabakan yang semakin teruk akibat beberapa faktor. Antaranya termasuklah penggunaan jalan oleh kenderaan berat seperti lori balak, telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Kejadian terbaru di mana sebatang kayu balak menghempap sebuah kenderaan mencetuskan kesedaran tentang kepentingan meningkatkan keselamatan dan menambah baik infrastruktur jalan di kawasan tersebut.
Jalan Merotai-Kalabakan Perlu Perhatian
Datuk Andi Suryady, Ahli Parlimen Kalabakan menegaskan bahawa keadaan jalan di Tawau, khususnya di Merotai-Kalabakan, perlu diperbaiki segera. Antara langkah yang dicadangkan adalah mengubah kaedah pengangkutan kayu balak daripada jalan raya awam kepada laluan alternatif seperti sungai atau jalan laut.
Hal ini kerana, keberadaan kenderaan yang melebihi muatan kayu balak di jalan raya menjadi faktor utama keadaan jalan raya menjadi rosak dan tidak dapat digunakan dengan baik. Tawau yang berfungsi sebagai hab utama bagi industri kayu balak di Sabah memerlukan sistem logistik yang lebih baik. Hal ini bagi memastikan kelancaran operasi industri ini tanpa menjejaskan keadaan jalan raya serta keselamatan pengguna.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Beliau turut mencadangkan penggunaan tongkang bagi memunggah kayu balak terus ke kilang pemprosesan dan menyegerakan kerja-kerja pembaikan jalan yang rosak. Selain itu, turut menyarankan kemudahan lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan terutama pada waktu malam. Dengan langkah-langkah ini, beliau berharap keadaan jalan raya dapat dipertingkatkan dan keselamatan pengguna dapat dijamin.
Beliau berkata demikian setelah mempengerusikan sesi libat urus bersama agensi berkaitan bagi membincangkan langkah-langkah penyelesaian.
Antara pihak yang hadir dalam mesyuarat ini termasuklah Pejabat Daerah Kalabakan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP). Selain itu, turut hadir wakil daripada Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Perhutanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sesi libat urus ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian infrastruktur di Sabah. Keputusan dan cadangan yang dibincangkan dalam mesyuarat ini akan menjadi asas kepada tindakan seterusnya. Hal ini bagi menambah baik keadaan jalan di kawasan Merotai-Kalabakan demi kepentingan semua pengguna.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.