KALABAKAN – Klinik Kesihatan Sementara Sungai Tamang di Pulau Sebatik kini berada dalam keadaan uzur, dengan bangunan yang hanya dipinjam serta menghadapi pelbagai kekangan termasuk kemudahan yang terhad.
Klinik ini amat penting bagi penduduk setempat kerana ia merupakan pusat rawatan utama bagi masyarakat di kawasan tersebut. Namun, dengan keadaan fasiliti yang tidak memuaskan, ia menimbulkan cabaran bagi kakitangan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk.

Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Suryady Bandy, yang melawat klinik tersebut, mengakui bahawa keadaan bangunan yang uzur serta peralatan yang tidak mencukupi perlu segera diberi perhatian.
Menurut beliau, lima daripada lapan klinik kesihatan di Parlimen Kalabakan telah dinaik taraf menerusi peruntukan Klinik Daif sepanjang tahun lalu. Selain itu, dua buah klinik baharu akan dibina, satu di Kalabakan dan satu lagi di Sungai Tamang. Tindaka ini dilakukan bagi memastikan akses perubatan yang lebih baik kepada penduduk.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Klinik Kesihatan Sungai Tamang Akan Ditender Tahun Ini
“Klinik Kesihatan Sungai Tamang yang kita nantikan selama ini dijangka akan ditender pada tahun ini. Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin. Hal ini kerana klinik ini merupakan impian dan kemahuan penduduk kampung di Pulau Sebatik sejak sekian lama,” ujar YB Datuk Andi.
Beliau turut memaklumkan bahawa Klinik Kesihatan Sungai Tamang pernah menerima peruntukan lebih RM48,000 pada tahun 2022. Peruntuk ini adalah untuk kerja-kerja pemulihan selepas bencana banjir, dan kerja-kerja tersebut telah selesai dilaksanakan. Namun, bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh dan selesa, pembinaan klinik baharu amat diperlukan.

YB Datuk Andi ditemui ketika menghadiri Program Simpul Kasih Ramadan yang berlangsung di Masjid Al-Mutaharah, Sungai Tongkang, Pulau Sebatik. Turut hadir dalam program tersebut adalah pemimpin tempatan dan masyarakat setempat yang sama-sama menyuarakan harapan agar kemudahan kesihatan yang lebih baik dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan tersebut.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.